Rebah Ketika Perlawanan, Pemain Bola Sepak Mesir Ahmed Refaat Meninggal Dunia
Pemain bola sepak Mesir, Ahmed Refaat, 31, disahkan meninggal dunia pada 6 Julai, Sabtu, akibat komplikasi selepas serangan jantung yang dialaminya empat bulan lalu ketika rebah semasa perlawanan Liga Perdana Mesir pada 11 Mac.
Pemain sayap yang telah bermain tujuh kali untuk pasukan kebangsaan itu mengalami serangan jantung empat bulan lalu semasa perlawanan liga menentang Al-Ittihad Alexandria, lapor France 24.
Menurut Egyptian Streets, beliau kemudiannya terpaksa ditidurkan (induced coma) untuk tujuan perubatan dan berada dalam keadaan koma selama sembilan hari.
Pada mulanya, beliau dimasukkan ke hospital di Alexandria sebelum dipindahkan ke Kaherah pada 25 Mac untuk menerima rawatan lanjut.
Walaupun telah dibenarkan keluar hospital pada 11 April, Refaat terus menjalani rawatan dengan bergantung kepada alat pacu jantung (pacemaker), sebuah peranti perubatan yang mengawal rentak jantung.
“Pada hari dia cedera, kami sedang menonton perlawanan di televisyen. Apabila melihat dia rebah, kami sangat sedih. Kami tidak menyangka kecederaan itu akan membawa penderitaan yang begitu teruk,” kata bapa saudaranya, Mahmoud el Askari.
Menurut seorang wartawan, sebelum Refaat meninggal dunia, terdapat kemajuan yang ketara dalam keadaan kesihatannya. Beliau telah menjalani dua pembedahan di Mesir, dengan perancangan untuk menjalani prosedur kritikal di Itali.
“Beliau mengalami kerosakan elektrik malignan dalam jantung disebabkan oleh sekatan dalam arteri koronari (saluran darah yang membekalkan darah beroksigen ke otot jantung). Beliau berjaya diselamatkan kali pertama, tetapi keadaan semakin teruk walaupun selepas pemasangan stent (tiub kecil yang dimasukkan ke dalam arteri yang tersumbat).
“Kemungkinan besar, terdapat sekatan baru yang lebih besar dan kerosakan elektrik yang teruk yang membawa kepada kegagalan otot jantung. Semoga beliau tenang di sana,” jelas seorang perunding kardiologi, Gamal Shaaban.
Liga Perdana Mesir turut meratapi pemergian Refaat dalam kenyataan rasmi di laman-laman rasmi mereka.
Sebagai tanda hormat, liga tersebut telah menangguhkan perlawanan yang dijadualkan hari ini antara Modern Sport dan Arab Contractors pada minggu ketiga puluh perlawanan.
Salah terkesan dengan berita duka pemergian Refaat
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, merupakan salah seorang yang amat terkesan dengan berita duka kematian rakan sepasukannya di kem Mesir itu.
Salah menyampaikan penghormatan dengan menyiarkan gambar Refaat dan pesanan melalui platform X peribadinya.
“Semoga keluarganya dan semua yang beliau kasihi diberi kesabaran oleh Allah,” tulisnya dalam hantaran itu.
BACA: Pemain Badminton China, Zhang Zhi Jie Meninggal Dunia
BACA: Zhang Zhi Jie Disahkan Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung
Sumber: Egyptian Streets, France 24, Stadium Astro