Kementerian Pertahanan Korea Selatan sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan atau memansuhkan sistem pengecualian khidmat tentera bagi atlet dan artis susulan kontroversi membabitkan kenyataan tidak wajar mengenai pengecualian itu oleh beberapa pemenang pingat emas negara berkenaan pada Sukan Asia, lapor Agensi Berita Yonhap.
Korea Selatan pertimbang mansuhkan pengecualian khidmat tentera, artis
Kontroversi tercetus selepas beberapa anggota skuad bola sepak lelaki kebangsaan secara terbuka menyatakan bahawa fokus utama mereka sepanjang kejohanan adalah untuk mendapatkan pengecualian khidmat tentera berbanding memenangi pingat emas, sekali gus menghidupkan semula perdebatan mengenai kewajaran sistem berkenaan.
“Pada akhirnya, kami merancang untuk mengehadkan atau memansuhkan khidmat gantian, termasuk yang diperuntukkan kepada golongan artis dan atlet, dan memasukkannya dalam rangka asas pembaharuan pertahanan,” kata jurucakap kementerian, Chung Binna, dalam taklimat media berkala pada Selasa.
Chung berkata kementerian akan mengambil kira beberapa faktor dalam membuat keputusan itu, termasuk soal keadilan terhadap golongan yang tertakluk kepada khidmat tentera wajib, pengurangan jumlah individu yang tersedia untuk menjalani khidmat tentera serta pandangan masyarakat.
Skuad bola sepak lelaki kebangsaan Korea Selatan meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Sabtu selepas menewaskan Jepun 1-0, sekali gus membolehkan 20 daripada 23 pemain skuad itu layak menjalani khidmat gantian.
Di Korea Selatan, semua lelaki yang sihat tubuh badan diwajibkan menjalani khidmat tentera antara 18 hingga 21 bulan di bawah sistem kerahan mandatori.
Bagaimanapun, atlet dan artis yang memenangi anugerah tertinggi dalam pertandingan domestik atau antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada asasnya diberikan pengecualian daripada menjalani khidmat tentera.
Sebagai gantinya, mereka diwajibkan menjalani latihan asas selama tiga minggu serta 544 jam khidmat masyarakat dalam tempoh 34 bulan.
Susulan perlawanan pada Sabtu, pemain bola sepak kebangsaan Korea Selatan, Yang Min-hyeok, menerima kecaman awam selepas dalam satu temu bual berkata beliau hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan pengecualian khidmat tentera berbanding memenangi pingat atau trofi.
Seorang lagi anggota skuad itu, Park Seung-soo, pula memuat naik foto dirinya memakai topi yang lazimnya dipakai oleh individu yang telah menamatkan khidmat tentera wajib.
“Daripada perspektif Kementerian Pertahanan, kami amat kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh sesetengah individu dalam industri sukan,” kata Chung.
“Kementerian berharap pengorbanan anggota tentera dan pasukan simpanan yang sedang menjalankan tugas ketika ini dihormati oleh masyarakat, selain budaya yang mengiktiraf nilai khidmat tentera dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat,” katanya.

