Wanita Nyaris Maut Dihempap Kayu Balak Ketika Menunggu Lampu Isyarat
GUA MUSANG, 9 Julai (Bernama) — Seorang wanita nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap beberapa kayu balak ketika sedang berhenti di lampu isyarat di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 11.20 pagi tadi telah dirakam kamera papan pemuka kenderaan lain.
Mangsa Siti Norelyana Kamaruzan, 21, tercampak daripada motosikalnya akibat rempuhan kayu balak yang jatuh dari lori yang terbalik ketika mengambil selekoh di laluan bersebelahan.
Tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata Siti Norelyana kini sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang dipercayai mengalami kecederaan dalaman.
“Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang rakan yang berada di tempat kejadian dan terus ke hospital untuk melihatnya. Doktor memaklumkan bahawa keadaan tunang saya kini tidak stabil,” katanya kepada pemberita di hospital tersebut di sini hari ini.
Nik Amnan Arif berkata tunangnya ketika itu sedang dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Bandar Utama untuk masuk bekerja sebelum beberapa kayu balak menghempap motosikalnya.
Sementara itu, saksi kejadian Nur Aima Nadia Ariffin, 32, berkata dia mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat keadaan riuh-rendah di lampu isyarat berkenaan.
“Beberapa batang kayu balak sebesar satu pemeluk dewasa berselerak di atas jalan dan menghalang keseluruhan laluan bersebelahan.
“Ketika menghampiri lokasi kejadian saya lihat terdapat seorang wanita sedang kesakitan di bawah kayu balak dan beberapa pengguna jalan raya turut keluar dari kenderaan mereka untuk cuba membantu mengeluarkan mangsa,” katanya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang menjalankan siasatan kes tersebut.
BACA: Sindiket Eksploitasi Pengemis OKU Warga Asing Kaut Untung RM8,000 Sebulan
Sumber: BERNAMA