Tertembak Diri Sendiri, Petani Putus Empat Jari & Patah Tulang Rusuk
Seorang petani nyaris maut apabila tertembak diri sendiri ketika keluar memburu payau di kawasan kebun Kampung Panganitan, Nabawan di Keningau pada Ahad.
Akibatnya, lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai cedera di bahagian tangan kiri apabila empat jarinya putus dan tulang rusuknya patah.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung insiden terbabit daripada Klinik Kesihatan Nabawan.
Menurut beliau, siasatan mendapati bahawa lelaki tersebut berjalan kaki membawa senapang jenis bakakuk buatan sendiri untuk memburu payau pada jam 4 petang.
“Lelaki itu ke kawasan yang cuma berjarak kira-kira tiga kilometer dari kawasan kampungnya dengan berjalan kaki selama 30 minit dan dia berjalan sendiri tanpa ditemani oleh sesiapa.
“Ketika menuruni kawasan cerun bukit, dia tergelincir dan picu bakakuk telah terganggu sehingga menyebabkan letupan dan terkena pada tangan kiri dan dadanya,” katanya.
BACA: Lelaki OKU Hilang Ditemui Maut Dipercayai Jatuh Pencawang Elektrik
Tambah beliau, lelaki tersebut terbaring kesakitan dengan keadaan lengan kiranya diikat bagi mengelakkan berlaku lebih banyak pendarahan.
“Abang lelaki tersebut risau apabila dia tidak pulang ke rumah sejak keluar berburu dan mengambil keputusan untuk keluar mencarinya di kawasan hutan.
“Lelaki tersebut kemudian ditemui di kawasan hutan dalam keadaan lemah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lelaki tersebut memaklumkan bahawa senapang yang dibawanya terbabit diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lalu bagi tujuan menjaga kawasan kebun daripada diserang babi hutan.
“Sebiji anak peluru masih berada di tulang rusuk dan tiga lagi berada di lengan kiri.
“Setakat ini, keadaan lelaki tersebut stabil tetapi masih ditahan di dalam wad Hospital Keningau untuk pemantauan rapi dan kes disiasat Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.
BACA: Dua Remaja Lemas Ketika Mandi Di Air Terjun Bersama Rakan
Sumber: Sinar Harian