Lelaki OKU Hilang Ditemui Maut Dipercayai Jatuh Pencawang Elektrik
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemui maut dipercayai akibat jatuh dari pencawang elektrik di Kampung Lot M, Kinabatangan pada Isnin.
Mayat Khairil Anuar Mustapa, 31, ditemui oleh orang awam pada jam 10.52 pagi dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 7 pagi Isnin.
Menurut beliau, seramai lima anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari BBP Kinabatangan.
“Menurut laporan, lelaki tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira 350 meter dari lokasi rumahnya.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah beliau, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada jam 11 pagi selepas memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.
BACA: Remaja Nyaris Maut, Dipercayai Termakan Biskut Beracun
Sumber: Sinar Harian