Anggota Tentera Brunei Terlibat Kemalangan Maut Semasa Konvoi Motosikal Ke Sandakan
Hasrat seorang anggota Tentera DiRaja Brunei untuk menyertai program permotoran di Sandakan tidak kesampaian apabila beliau terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan, pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa, Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, yang menunggang motosikal secara berkonvoi bersama rakan-rakannya, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, menjelaskan bahawa kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun.
Menurut beliau, mangsa bersama empat lagi penunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari Keningau ke Sandakan.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah pacuan empat roda tiba-tiba keluar simpang dari arah Kampung Monsorulung Tambunan untuk memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.
“Mangsa yang berada di jalan utama cuba mengelak ke sebelah kanan jalan tetapi terlanggar di bahagian hadapan kanan kenderaan tersebut dan menyebabkan mangsa tercampak lalu terperosok di bawah pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan, serta patah kaki dan rusuk kiri.
“Mangsa dihantar ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 2.56 petang ketika menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang keluar dari simpang tanpa memerhatikan motosikal tersebut.
“Pemandu tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
BACA: Mayat Wanita Dengan Kesan Tembakan Ditemukan Di Durian Burung
BACA: Motosikal Bertembung Kereta, Remaja Lelaki Tercampak & Meninggal Dunia
BACA: Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Dipercayai Jatuh Dari Tingkat 16
Sumber: Sinar Harian