Siakap Keli
penuntut upnm hukuman gantung
Kredit: BERNAMA

Bunuh Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati

Bunuh Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) — Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lepas.

Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh sebelum ini.

Hakim Hadhariah dalam keputusan sebulat suara berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila meminda pertuduhan asal daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Hakim Hadhariah di dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kelima-lima tertuduh itu secara bergilir-gilir telah menekap seterika wap pada seluruh badan si mati (Zulfarhan) termasuk kemaluannya dan seorang lagi tertuduh pula bersubahat menghasut dan menyuruh kelima-lima tertuduh melakukan perbuatan berkenaan.

BACA: Kes Bunuh Zulfarhan: 6 Penuntut UPNM Dijatuhi Hukuman Penjara 18 Tahun

“Oleh itu kami sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja wajar dijatuhkan kepada keenam-enam tertuduh di mana kesemua tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Justeru itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 18 tahun (dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi) terhadap keenam-enam tertuduh dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati,” kata hakim itu.

Sebelum ini, lima tertuduh menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala seorang lagi didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

BACA: Kes Zulfarhan: 12 Tertuduh Akui Insiden Beri Kesan Sepanjang Hayat

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dan menggantikan hukuman itu dengan penjara empat tahun.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Sumber: BERNAMA

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.