Feri Pulau Kapas Tenggelam Awal Pagi Tadi
GEORGETOWN — Sebuah feri yang ditempatkan di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dilaporkan tenggelam selepas tali yang diikat padanya terputus dalam kejadian yang berlaku pada 3 pagi Rabu, lapor Sinar Harian.
Feri yang merupakan feri ikonik Pulau Kapas itu hampir tenggelam sepenuhnya setelah didapati mula senget.
“Feri ini milik Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan memang berada dalam keadaan senget.
“Ia sudah lama diikat menggunakan tali di pangkalan tersebut. Kebetulan malam tadi angin kuat, tali berkenaan putus menyebabkan feri tersebut tenggelam,” ujar sumber sewaktu dihubungi hari ini.
Berikutan itu, SPPP kini giat mengangkat semula feri berkenaan dan meletakkannya dalam keadaan seperti sediakala
“Ketika ini, pihak bomba sedang menjalankan kerja kawalan tumpahan minyak,” kata sumber lagi.
Difahamkan, perkhidmatan feri di Pulau Pinang sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal, manakala bagi kenderaan empat tayar telah diberhentikan sejak 1 Januari 2021.
Oleh itu, hanya motosikal dan basikal sahaja boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil alih peranan Prasarana Malaysia Berhad untuk perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal pada tarikh yang sama.
Pun begitu, SPPP bakal menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina sebagai langkah mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang.
BACA: Feri Bawa 163 Penumpang Ke Langkawi Terkandas Lebih Lima Jam
Difahamkan juga, feri itu hanya diletakkan di Tanjung City Marina dan akan diubahsuai sebagai restoran dan muzium terapung di situ.
Pada Julai 2021, tiga syarikat yang berkelayakan telah menerima lima buah feri ikonik itu daripada SPPP untuk mengubahsuai menjadi muzium, restoran terapung dan feri pelancongan.
Antaranya ialah Feri Talang-Talang, Feri Pulau Payar, Feri Pulau Undan, Feri Pulau Kapas dan Feri Pulau Pinang yang terlibat dengan ubah suai tersebut.
Sumber: Sinar Harian