Kekurangan Bukan Penghalang, Wanita OKU Pendengaran & Pertuturan Capai Impian Jadi Ketua Chef
Hidup ini ibarat satu medan ujian untuk kita semua sejak dari kecil lagi. Cuma yang membezakan setiap dari kita ialah bagaimana kita menjadikan ujian tersebut sebagai kekuatan untuk bangkit dan melangkah lebih jauh.
Disebalik ujian tersebut, kita juga perlu yakin bahawa rahmat yang diberikan oleh Allah SWT itu sangat luas. Setiap apa yang diciptakan olehNya mempunyai kelebihan tersendiri, walaupun nampak serba kekurangan di mata manusia.
Sama apabila kita melihat Orang Kurang Upaya (OKU) yang tentunya berbeza dari orang normal. Namun, setiap dari mereka juga mempunyai keistimewaan dan kekuatan yang luar biasa sehingga mampu meletakkan diri sama tinggi dengan orang normal.
Seperti Nor Adzleen Hj Abdul Karim, 40, ini yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan sejak dari kecil lagi. Sungguhpun begitu, kekurangannya tidak pernah menjadi satu halangan untuknya mengejar impian menjadi seorang chef.
Namun, kejayaan yang diperoleh oleh Adzleen atau lebih dikenali sebagai Chef Leen ini juga sebenarnya bukan mudah, banyak yang perlu dilaluinya terutama apabila perlu berhadapan dengan orang normal.
Dia yang kini bekerja sebagai Ketua Chef Pastri di restoran Gastrohub di Nilai, Negeri Sembilan berjaya menjadi seorang chef selepas tamat belajar di Politeknik Ibrahim Sultan Johor Bahru (PIS) pada 2006 dalam bidang Sijil Hotel & Katering Khas (KHK).
Sebelum berkongsi lebih mendalam mengenai kerjayanya di restoran tersebut, Chef Leen turut mengimbas kembali detik-detik ketika dia disahkan menghadapi masalah pendengaran.
Menurutnya, dia mengalami demam panas ketika usia 1 tahun 2 bulan dan ketika itu doktor memberitahu bahawa dia boleh pulih seperti biasa, namun dia mungkin hanya boleh berjalan ketika usianya menginjak 8 tahun.
Pada ketika itu juga, doktor mengesahkan bahawa demam panas tersebut tidak menjejaskan pendengaran dan percakapan Chef Leen.
Bagaimanapun, dia yang berasal dari Kuala Lumpur itu disahkan oleh doktor mengalami masalah kurang pendengaran dan pertuturan ketika usia 5 tahun iaitu ketika persekolah tadika.
“Setelah berumur 7 tahun baru dimasukkan ke sekolah pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, sehinggalah tamat dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di sekolah batu 5 Jalan Ipoh.
“Tamat tingkatan lima saya terus menyambung pengajian ke Politeknik Ibrahim Sultan Johor,” katanya ketika ditemu bual oleh SK.
Ditemani suaminya, Mohd Shaiful Nizam, 40, yang juga menjadi penterjemah ketika sesi temu bual diadakan, Chef Leen berkongsi bahawa dia juga pernah menghadapi diskriminasi kerana kekurangannya.
Namun, perkara tersebut tidak pernah sekali membuatkan dirinya tersungkur, malah dia bangkit dan menjadi lebih kuat hingga berjaya buktikan bahawa dirinya mampu menjadi seperti orang normal.
Pengajian di Politeknik menjadi salah satu pembuka jalan untuknya menjadi seperti sekarang.
Chef Leen berkata dia memilih bidang Hotel & Katering kerana suka memasak sejak usia 11 tahun lagi, selain hanya di Politeknik tersebut sahaja yang menawarkan bidang terbabit untuk golongan OKU pada ketika itu.
Dalam masa yang sama minat itu juga didorong oleh arwah bapa saudaranya, Abdul Talib Ahmat yang juga merupakan seorang chef.
“Bapa saudara saya sentiasa memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha dan jangan dengar cakap orang lain (yang negatif).
“Masa pengajian, saya berminat sangat dengan bidang hotel dan katering. Di situ saya dapat berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekelas dan pensyarah khas.
“Banyak perkara saya belajar untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Politeknik juga memotivasikan diri saya untuk mempelajari sesuatu perkara yang dapat mendorong saya berjaya,” katanya.
Ujarnya lagi, institusi pengajian terbabit bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan kepadanya tetapi turut mengasah kemahiran pelajar.
“Tak semestinya pelajaran kita tertumpu dalam kelas, selalunya kalau kelas saya satu sem mesti ada belajar luar kelas untuk kemahiran.
“Bagus sebab banyak kemahiran, sudah keluar nanti dah tahu buat kerja. Banyak benda saya lalui sepanjang belajar menjadi seorang tukang masak, seterusnya sebagai alumni PIS” katanya.
Selain itu, arwah bapa saudaranya juga telah menjadi sumber kekuatan untuknya terlibat dengan lebih mendalam dalam bidang Food and Beverage ini.
“Kehidupan saya berubah setelah tamat pengajian di PIS. Selepas tamat pengajian saya bekerja sebagai pembantu pastri di Hotel Puteri Pacific Johor Bahru bersama dengan arwah bapa saudara saya iaitu Chef Talib. Arwah Chef Talib juga seorang Ketua Chef Pastri yang sangat disegani semasa di hotel itu.
“la membuatkan kehidupan saya berubah dan ingin mencabar kebolehan saya dalam bidang Food & Beverage kerana waktu itu saya susah untuk berkomunikasi. Saya berusaha keras dan ingin menambah ilmu lebih mendalam lagi sewaktu bekerja di hotel itu. Saya buktikan pada semua orang yang OKU boleh buat dan menjadi Chef yang berjaya suatu hari nanti,” katanya.
Mengulas mengenai kerjayanya, ibu kepada dua orang anak itu juga pernah membuka perniagaan pastri sendiri, Sugar Village, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada tahun 2020.
Ketika tahun 2020 itu juga, dia dan suaminya telah mengintai peluang pekerjaan di Gastrohub dan kini empat tahun berkhidmat di restoran terbabit.
Sebagai ketua dan juga pakar pastri bagi jualan di restoran berkenaan, dia telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan segala produksi mengikut perkembangan terkini.
“Gastrohub Nilai adalah sebuah restoran yang menyediakan makanan barat dan juga Asia. Di samping itu, ada juga menjual manisan dan pencuci mulut yang dibuat oleh saya sendiri, juga dibantu bersama dengan pasukan saya,” jelasnya.
Walau diakui susah untuk berkomunikasi dengan orang normal namun menariknya, rakan-rakan sekerja di restoran itu boleh berkomunikasi dengan Chef Leen dalam bahasa isyarat.
Di samping itu, Chef Leen juga berkata dia mempunyai impian untuk membuka kilang roti sendiri pada masa hadapan dan menyediakan roti yang murah kepada golongan pelajar sekolah yang susah.
Chef Leen turut memberi nasihat kepada anak-anak muda di luar sana terutama OKU agar jangan berputus asa mengejar cita-cita dan sentiasa kuatkan semangat menghadapi dunia yang penuh ujian ini.
“Kalau nak berjaya, kena kuatkan semangat dan diri. Jangan putus asa, pandang ke depan. Terus berlari kejar impian, walaupun kita digelar OKU, ia bukan penghalang untuk kita berjaya.
“Doa pada Allah, dapatkan sokongan keluarga dan kawan-kawan. Bila orang normal marah, pedulikan, jangan ambil kisah, usaha dan buktikan bahawa diri kita boleh berjaya,” katanya.
Semoga kisah ini menjadi pemangkin kepada golongan OKU untuk berjaya menggapai apa yang diinginkan, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Peluang sentiasa terbuka untuk anda, kini banyak institusi pengajian di negara kita yang menawarkan kemahiran dan pembelajaran kepada anda khususnya di Politeknik dan TVET.