Siakap Keli
ikan bawal kukus
Gambar: Raja Azreen via Facebook Masak Apa Hari Ini (MAHN)

Mudah Rupanya, Ini Resipi Ikan Bawal Kukus Ala “Chinese Style”

Mudah Rupanya, Ini Resipi Ikan Bawal Kukus Ala “Chinese Style”

Ikan kukus sememangnya menjadi hidangan pilihan yang sesuai dikongsi bersama ahli keluarga. Hidangan ini turut membuatkan juadah yang dikongsi terasa meriah dan menghangatkan perut berkeroncong.

Biasanya kita jumpa resipi ikan kukus ala Thai. Untuk kelainan, SK ingin kongsikan kepada pembaca resipi ikan kukus ala masakan Cina pula.

Ikuti resipi perkongsian dari Raja Azreen yang dikongsikan melalui kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini (MAHN).

Resipi ikan bawal kukus ala masakan Cina

Siang ikan bawal dan bersihkan. Untuk penyediaan resipi ini, Raja Azreen menggunakan dua ekor ikan bawal bersaiz besar.

Pastikan ikan bawal dikelar terlebih dahulu bagi memastikan bahan sos dan perasa dapat menyerap ke dalam isi ikan.

Jika anda ingin tahu cara memilih ikan yang segar, baca perkongsian SK berikut.

BACA: Bukan Setakat Tengok Warna Mata, Ini 6 Cara Pilih Ikan Segar Di Pasar

Sebagai perasa masakan, sediakan halia, batang daun bawang, cili padi dan bawang putih.

Hiris halia panjang-panjang mengikut saiz batang mancis. Kemudian hiris setangkai batang daun bawang serta dua hingga tiga batang cili padi. Anda boleh kurangkan cili padi jika ingin hidangan yang kurang pedas.

Kupas bawang putih dan cincang kasar. Jika anda ingin rasa bawang putih yang lebih dalam kuah, boleh juga gunakan tujuh hingga lapan ulas bawang putih.

Untuk bahan membuat sos pula, sediakan dua sudu besar kicap cair, satu sudu besar sos tiram, satu sudu besar minyak bijan dan setengah sudu gula.

Campurkan kesemua bahan membuat sos di dalam mangkuk kecil dan kacau sedikit. Kemudian boleh ketepikan.

ikan bawal kukus
Gambar: Raja Azreen via Facebook Masak Apa Hari Ini (MAHN)

Cara masak ikan bawal kukus ala masakan Cina

Sebelum anda mula mengukus ikan bawal, sediakan dahulu bawang putih goreng.

Sediakan kuali dan sedikit minyak, kemudian goreng bawang putih yang telah dicincang kasar tadi. Apabila bawang telah garing, tutup api dan ketepikan bawang putih goreng.

Sediakan bekas mengukus, kemudian letakkan ikan bawal tadi. Pastikan bekas mengisi ikan bawal cukup dalam untuk menyimpan kuah kukusan nanti.

Masukkan hirisan batang bawang dan taburkan hirisan halia di atas ikan bawal.

Kukus selama lima minit. Kemudian, tuangkan bahan sos tadi bersama bawang putih goreng.

Kukus lagi sehingga ikan masak.

Apabila isi ikan sudah empuk, angkat dan siap untuk dihidang.

Selamat menjamu selera.

https://www.facebook.com/groups/MasakApaHariNiMAHN.my/posts/3608582849465005/?paipv=0&eav=Afb4shy6RKUkhs4chw3-xXT47X09bC2RH-Z3_wnCst86VkA-v780PETLAZ0GCvJuvLg&_rdr

Sumber: Raja Azreen via Facebook Masak Apa Hari Ini (MAHN)

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: