Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Asbab Koma Tiga Hari Akibat Kemalangan, Kini ‘Ikan Longkang’ Ubah Pintu Rezeki Akmal Hingga UK

ikan longkang
Kredit: MarangGuppyHouse

Kadang-kadang, perkara yang paling tidak kita rancang itulah yang akhirnya mengubah seluruh jalan hidup.

Begitulah kisah Mohamad Akmal Hakimy Bin Juzaimy, 27, atau mesra disapa Akmal, pengasas Marang Guppy House yang tidak pernah menyangka ikan kecil yang sering dianggap sebagai ‘ikan longkang’ mampu menjadi sumber rezeki utama buat dirinya.

Berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan membesar di Kuantan, Pahang, Akmal kini menetap di Terengganu.

Anak kedua daripada dua beradik itu mempunyai Diploma Logistik, namun akhirnya memilih laluan kerjaya yang jauh berbeza daripada bidang pengajiannya.

Menariknya, minat terhadap ikan gupi itu pada awalnya bukan datang daripada dirinya sendiri, sebaliknya bermula daripada ibunya.

Bermula kerana mak minat gupi

Jenis-jenis ikan Gupi yang dimiliki Akmal

Menurut Akmal, semuanya bermula sekitar tahun 2019 apabila ibunya gemar membeli ikan gupi yang cantik hampir setiap minggu.

Walaupun ibunya yang membeli ikan berkenaan, tugas untuk menjaganya akhirnya jatuh kepada Akmal.

“Mak yang minat ikan gupi. Setiap minggu pergi kedai ikan beli ikan gupi yang cantik-cantik bawa balik rumah, tapi yang jaganya saya.

“Lepas itu saya mula explore dekat kumpulan Facebook dan tengok video-video gupi. Akhirnya diri sendiri pula ‘teracun’ sebab terlalu banyak jenis dan setiap tahun sentiasa ada jenis baharu yang orang hasilkan,” katanya kepada SK.

Antara rutin yang perlu dilakukan Akmal iaitu memberi makan gupi

Sebelum itu, Akmal sebenarnya lebih meminati kucing dan tidak pernah terfikir gupi boleh memberikan pendapatan.

Segalanya berubah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 apabila dia mencuba nasib dengan memuat naik video ikan miliknya di Facebook.

Tidak disangka-sangka, hantaran pertama itu mendapat sambutan sehingga ramai menghubunginya untuk bertanyakan harga.

“Video pertama yang saya post dekat Facebook dapat sambutan terlalu ramai. Orang mesej tak berhenti-henti tanya harga ikan.

“Bermula dari situ saya jadikan ikan ini sebagai hobi dan pendapatan sampingan,” katanya.

Modal hanya RM30 hingga RM50

Antara lokasi pembiakan ikan Gupi menggunakan gabus (kotak polistirena)

Untuk bermula, Akmal tidak mempunyai modal yang besar.

Katanya, dia hanya mengeluarkan sekitar RM30 hingga RM50 untuk membeli induk ikan gupi.

Malah, bekas untuk memelihara ikan turut menggunakan kotak polistirena terpakai.

“Waktu mula dahulu saya hanya ada dua hingga lima jenis ikan sahaja.

“Sekarang Alhamdulillah dah ada sekitar 20 hingga 40 jenis,” katanya.

Menurut Akmal, antara sebab dia tertarik dengan gupi adalah kerana ikan tersebut mudah dijaga selain mempunyai pelbagai warna, corak dan bentuk badan.

“Ikan gupi ini antara ikan yang paling mudah dijaga dan paling unik dari segi warna serta corak.

“Untuk gupi, ada bekas plastik pun kita dah boleh biakkan mereka,” katanya.

Asbab Koma tiga hari jadi titik perubahan

Perkongsian Akmal MarangGuppyHouse

Namun, titik perubahan terbesar dalam perjalanan Akmal berlaku selepas dia terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Akmal berkata dia dilanggar sebuah kereta sehingga koma selama tiga hari, selain mengalami kecederaan serius pada kaki kanan.

“Saya kena langgar dengan kereta masa nak pergi kerja dan saya koma tiga hari.

“Urat keting kaki kanan saya hampir 70 peratus terputus. Lepas itu saya trauma nak naik motosikal,” katanya.

Akibat kemalangan tersebut, Akmal terpaksa mengambil cuti sakit selama tiga bulan.

Dalam keadaan tidak dapat bekerja seperti biasa tetapi masih mempunyai komitmen untuk dibayar, ikan gupi yang sebelum itu sekadar hobi menjadi salah satu ikhtiarnya mencari rezeki.

Setiap hari, dia memuat naik video ikan di Facebook untuk mencari pelanggan.

Usaha itu membuahkan hasil sehingga Akmal berjaya membeli sebuah kereta secara tunai menggunakan wang hasil jualan ikan.

“Waktu itu saya tak ada duit untuk bayar komitmen. Jadi saya ikhtiar dengan post video ikan setiap hari dekat Facebook.

“Alhamdulillah, dalam tempoh cuti sakit itu saya dapat beli kereta secara tunai hasil daripada jualan ikan gupi.

“Kereta itulah yang saya guna untuk pergi kerja selepas habis cuti sakit,” katanya.

Berhenti kerja demi mak

Akmal ketika sedang melakukan LIVE di TikTok bersama peminat Gupi

Selepas PKP, kehidupan Akmal sekali lagi berubah apabila ibu bapanya berpisah.

Sebagai satu-satunya anak lelaki, dia membawa ibunya tinggal bersama di Terengganu.

Ketika itu, Akmal masih bekerja dan terpaksa berulang-alik setiap hari dari Marang ke Dungun.

“Ada masa keluar pukul 8 pagi dan pukul 11 malam baru habis kerja. Saya tinggal berdua sahaja dengan mak.

“Satu hari saya rasa dah tak boleh teruskan ulang-alik hari-hari. Jadi saya berhenti kerja dan fokus kembangkan lagi ikan gupi,” katanya.

Bermula dari situlah Akmal mengambil keputusan menjadi penjual ikan hiasan sepenuh masa dari rumah.

Apa yang pada mulanya sekadar hobi bertukar menjadi pendapatan sampingan sebelum akhirnya menjadi sumber pendapatan utamanya.

Bukan sekadar ‘ikan longkang’

Antara strain (jenis) Gupi yang dimiliki MarangGuppyHouse

Akmal mengakui masih ramai yang memandang ikan gupi sebagai ikan biasa yang hidup di longkang dan memakan jentik-jentik.

Namun menurutnya, dunia gupi sebenarnya jauh lebih luas.

“Orang luar nampak ikan gupi ini macam ikan longkang. Sebenarnya ikan gupi sangat luas.

“Orang sentiasa hasilkan warna baharu dan ada pelbagai jenis ekor serta bentuk ikan,” katanya.

Antara variasi yang terdapat dalam dunia gupi termasuk short body, ribbon, swordtail dan halfmoon.

Kini Akmal mempunyai sekitar 20 hingga 40 jenis ikan.

Antara strain kegemarannya ialah HB Blue Short Body Ribbon Sharkfin C, manakala Albino Koi Red Ear dianggap antara yang paling mencabar untuk dibiakkan.

Akmal turut berjaya menghasilkan strainnya sendiri yang diberi nama Snakehead HB Blue.

Pernah hampir semua ikan mati

Walaupun bisnes semakin berkembang, Akmal pernah melalui satu detik yang hampir menyebabkan dia kehilangan keseluruhan koleksi ikan.

Ketika itu, hujan turun hampir dua minggu tanpa henti sehingga rak kayu yang digunakan menjadi lembut dan reput.

Akhirnya, rak tersebut runtuh menyebabkan bekas-bekas ikan pecah dan ikan terdampar di atas tanah.

Lokasi pembiakan Gupi dari Induk hingga ke anak

“Pernah hampir semua ikan mati sebab rak ikan runtuh.

“Masa itu memang ada rasa nak give up,” katanya.

Namun, sokongan daripada ibunya membuatkan Akmal bangkit semula.

“Mak nampak potensi bisnes ikan ini. Dia selalu bagi sokongan moral untuk mula semula.

“Saya cari induk baharu, biakkan semula dan naik taraf rak kepada besi.

“Masa itu saya fikir, nama pun dah ada dalam bisnes ikan ini. Rugi kalau berhenti terus,” katanya.

Harga pernah cecah RM850 sepasang

Gupi Albino Full Red atau lebih dikenali dengan nama AFR

Kini, harga gupi yang dijual Marang Guppy House bermula sekitar RM30 hingga RM300 sepasang.

Menurut Akmal, harga bergantung kepada saiz, corak, warna dan genetik ikan.

Malah, pasangan ikan paling mahal yang pernah dijualnya mencecah RM850.

Jika Facebook menjadi titik awal untuk mencari pelanggan, TikTok pula menjadi platform yang benar-benar mengubah perniagaannya.

“TikTok Live inilah yang merubah 100 peratus bisnes saya dan terus jadi aplikasi utama untuk saya jana pendapatan,” katanya.

Daripada pelanggan tempatan, Marang Guppy House kini menghantar ikan ke seluruh Malaysia.

Lebih membanggakan, Akmal turut pernah menghantar ikan ke Singapura, Indonesia, Thailand dan United Kingdom.

Pernah muncul juara pertandingan

Akmal ketika berjaya muncul juara pertandingan Ikan selepas merangkul tiga kategori trofi menerusi Halfblack, Pattern dan Short Body

Selain mengembangkan jualan, Akmal turut menyertai pertandingan ikan gupi.

Dia pernah bertanding dalam kategori Halfblack, Pattern dan Short Body, serta berjaya muncul juara.

Namun apabila ditanya mengenai pencapaian paling bermakna, jawapan Akmal bukan sekadar trofi atau jumlah jualan.

Sebaliknya, hasil ikan gupi itulah yang membantunya membina kehidupan bersama isterinya.

“Pencapaian saya sepanjang ceburi bidang gupi ini, saya dapat berkahwin dengan isteri menggunakan 100 peratus hasil daripada duit ikan,” katanya berseloroh.

Akmal turut pernah menjadi bahan gurauan rakan-rakan sehingga mendapat gelaran ‘Mal Gupi’.

“Tapi bila dah sampai tahap sekarang, kawan-kawan yang dulu itulah datang semula nak beli dengan kita,” katanya.

Rezeki yang beri lebih banyak masa bersama keluarga

Bagi Akmal, kejayaan daripada bisnes ini bukan semata-mata diukur dengan wang.

Sebaliknya, ia memberinya lebih banyak masa bersama ibu dan isteri.

“Perubahan paling besar dalam hidup saya ialah saya dapat luangkan masa sepenuhnya dengan mak.

“Saya dapat solat berjemaah di surau, dapat tunaikan apa sahaja permintaan mak dan isteri serta dapat tidur yang cukup,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Akmal berharap dapat memiliki sebidang tanah sendiri bagi mengembangkan Marang Guppy House.

Dia juga memasang impian untuk menjadi antara pembekal dalam industri ikan hiasan Malaysia.

“Untuk beberapa tahun akan datang, saya harap Marang Guppy House ada tanah sendiri supaya saya dapat biakkan ikan gupi dengan lebih banyak dan jadi pembekal kepada industri ikan hiasan Malaysia,” katanya.

Bagi mereka yang mahu mula memelihara gupi pula, Akmal menasihatkan supaya bermula dengan ikan yang murah dan belajar sedikit demi sedikit.

“Mula dari bawah. Bila dah stabil, baru upgrade cari yang lebih cantik dan lebih padu,” katanya.

Daripada modal sekitar RM30, kotak polistirena terpakai dan ikan yang asalnya dibela sekadar hobi, perjalanan Akmal membuktikan bahawa rezeki kadang-kadang datang melalui jalan yang paling tidak disangka.

Daripada kemalangan yang menyebabkan dia koma tiga hari, hampir kehilangan semua ikan dan pernah dipandang rendah, Akmal memilih untuk terus bertahan.

Antara proses yang perlu dilalui Akmal iaitu menghantar ikan yang sudah siap diletakkan di dalam kotak.

Hari ini, ‘ikan longkang’ yang pernah dianggap biasa itulah yang menjadi sumber rezekinya, membolehkan dia menjaga ibu, membina keluarga dan membawa nama Marang Guppy House sehingga ke luar negara.

Jika ingin melihat jenis-jenis ikan gupi berkualiti yang dimiliki Akmal boleh laman web dan media sosial di TikTok, Instagram, Facebook atau boleh menghubungi terus di WhatsApp.

Intipati
  • Akmal mula menjaga ikan gupi selepas ibunya kerap membeli ikan hiasan itu.
  • Kemalangan motosikal menyebabkan Akmal koma tiga hari dan mula serius menjual ikan gupi.
  • Marang Guppy House kini menghantar ikan seluruh Malaysia serta pernah ke beberapa negara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan