Terima Anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri, Imuda Kini Bergelar Dato’
Bintang seni popular tanah air, Imuda, 65, atau nama sebenarnya A. Rahim Muda, adalah salah seorang daripada 103 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Imuda salah seorang daripada 103 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) yang membawa gelaran Dato’.
Pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan kartunis terkenal itu menganggap penganugerahan yang diterimanya sebagai pengiktirafan kepada semua anak seni di Malaysia.
Beliau menerima anugerah tersebut dalam Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, yang berlangsung di Dewan Sri Pinang.
Imuda menyatakan bahawa penganugerahan yang diterimanya merupakan suatu penghargaan dan penghormatan kepada seluruh anak seni di negara ini, terutamanya anak jati Pulau Pinang.
“Sejujurnya, saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang (Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak).
“Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” katanya seperti yang dilaporkan Buletin Mutiara.
Imuda, yang popular dengan watak Budin dalam komedi situasi (sitcom) Pi Mai Pi Mai Tang Tu, melihat peluang berkarya di Pulau Pinang cukup luas dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri.
“Tidak dinafikan bahawa di Pulau Pinang juga ada peluang-peluang yang baik untuk anak seni berkarya namun masih banyak ruang penambahbaikan boleh dilakukan.
“Masih banyak syarikat-syarikat penerbitan perlu diwujudkan di negeri Pulau Pinang bagi membuka ruang kepada pengembangan kesenian terutamanya dalam seni kreatif.
“Namun sekiranya mereka (anak seni) mahu berkembang dan berkecimpung dalam dunia seni dengan lebih serius, maka mereka perlu berani untuk berhijrah terutamanya ke ibu kota yang terkenal dengan pusat seni kreatif,” katanya yang dilahirkan di Bukit Mertajam.
Selain Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda yang memulakan kerjayanya sebagai pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut membintangi beberapa buah filem.
Antaranya termasuklah filem Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasi daripada karya Lat), Mat Gelap, Imigran dan Jutawan Fakir.
BACA: Perenang Olimpik Brazil Dihantar Pulang Selepas Lawat Menara Eiffel
BACA: Berjaya Layak Hingga Ke Pusingan 16, Atlet Mesir Dedah Sarat Hamil Tujuh Bulan
BACA: Tiada Jurulatih, Ini Kisah Kecekalan Eric Moussambani Ketika Olimpik Sydney
Sumber: Buletin Mutiara