Siakap Keli
Hujan Meteor Perseid
Kredit: BBC

Fenomena Hujan Meteor Perseid Dijangka Berlaku, 17 Julai – 24 Ogos Ini

Fenomena Hujan Meteor Perseid Dijangka Berlaku, 17 Julai – 24 Ogos Ini

Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan fenomena Hujan Meteor Perseid yang berlaku bermula 17 Julai lepas hingga 24 Ogos ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Planeterium Negara melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Planetarium Negara, Hujan Meteor Perseids ini akan mencapai maksimum dengan kadar 110 meteor sejam atau hampir 2 meteor seminit pada 12 Ogos, kira-kira jam 9:00 malam sehingga menjelang awal pagi 13 Ogos.

Tambah hantaran itu lagi, pancaran meteor-meteor tersebut datang dari buruj Perseus yang terletak di langit sebelah utara.

“Bagi yang ingin memerhatikan fenomena hujan meteor ini, perlu ke kawasan yang gelap dan jauh dari pencemaran cahaya,” kata hantaran itu.

Hujan Meteor Perseids berlaku setiap tahun

Menurut portal Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Hujan Meteor Perseids merujuk titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Perseus.

Perseus ialah buruj langit utara. Ia terletak di antara buruj Auriga dan buruj Cassiopeia. Mirfak, bintang yang paling terang di Perseus, adalah lebih besar daripada Matahari.

Walau bagaimanapun, kemunculan fenomena ini masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Hujan Meteor Perseids ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle.

Menurut portal itu lagi, Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus yang berdiameter sebesar 26 kilometer. Ia mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Kali terakhir komet berkenaan mendekati Bumi adalah pada tahun 1992. Ia dijangka akan menghampiri Bumi semula pada tahun 2126.

Difahamkan, sewaktu komet itu mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.

Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.

Tip untuk mencerap Hujan Meteor Perseids

  • Pastikan anda berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit yang gelap (tiada gangguan cahaya).
  • Pandangan anda juga tidak terhalang dengan bangunan yang tinggi, pokok atau rumah.
  • Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik.
  • Sesuaikan mata anda dengan keadaan yang gelap selama 20 minit.
  • Tidak perlu memfokuskan ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.

BACA: Rangka Bayi Dijumpai Bawah Papan Lantai Rumah, Disyaki Dah Meninggal Lebih 100 Tahun

Sumber: Planetarium Negara via Facebook, MYSA

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.