Remaja 14 Tahun Hilang Sejak 25 Mei, Polis Kesan Lin Yu Cheng
Perselisihan faham dengan bapa disyaki menjadi punca remaja perempuan berusia 14 tahun menghilangkan diri, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, remaja perempuan berkenaan telah menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu dan gagal dikesan sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, ahli keluarga telah melaporkan kehilangan Lin Yu Cheng di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 3:04 petang, pada Isnin lalu.
“Remaja itu disedari hilang pada 25 Mei lalu dari kediamannya di Dataran Prima Condominium, di sini oleh bapanya selepas berlaku perselisihan faham.
“Pada 28 Mei lalu, adik remaja terbabit menghubunginya dan dapat berkomunikasi melalui WhatsApp, namun apabila bapanya cuba menghubunginya semula gagal dan tidak berjawab,” kata Shahrulnizam seperti yang dilapor Sinar Harian.
Tambahnya, bapanya sekali lagi menghubunginya pada 28 Jun lepas, namun talian tidak lagi aktif dan dipercayai remaja terbabit sudah menamatkan perkhidmatan talian.
“Bapanya ada melihat Instagram anaknya itu semalam (Isnin), memaparkan tangannya bertatu dan dipercayai berada di pusat hiburan.
“Selepas 73 hari remaja itu tidak pulang ke rumah, bapanya tampil membuat laporan polis semalam,” ujarnya lagi.
Menurut Sinar Harian lagi, Yu Cheng dilaporkan berketinggian kira-kira 155 sentimeter dengan berat kira-kira 42 kilogram dan berkulit warna kuning susu. Tambahan lagi, remaja terbabit berambut hitam dan berbibir nipis.
BACA: “Banyak Betul Love”, Alisa Lukis Gambar Lee Zii Jia Ketika Beraksi Raih Perhatian Ramai
BACA: Ingatkan Apa, Rupanya Ini “Isi” Kotak Emas Misteri Diterima Pemenang Pingat Olimpik
Sumber: Sinar Harian