Kes Tiga Sekeluarga Maut Dalam Kebakaran Diklasifikasi Sebagai Kes Bunuh – Polis
Muar — Pihak Polis Daerah Muar hari ini mengklasifikasikan semula kes tiga sekeluarga maut dalam kebakaran di Pagoh semalam sebagai kes bunuh, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian dan hasil laporan bedah siasat ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat unsur-unsur jenayah.
“Polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Raiz turut memaklumkan pihak polis dalam usaha mencari suspek utama yang merupakan anak kepada pasangan warga emas yang menjadi mangsa kebakaran tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau hubungi hotline IPD Muar, di talian 06-9564800 atau mana -mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
Semalam, pasangan suami isteri warga emas bersama cucu perempuan mereka berusia 11 tahun dilaporkan maut dalam kebakaran rumah di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan di Pagoh.
BACA: Dua Warga Emas, Seorang Cucu Maut Dalam Kebakaran Di Pagoh
Memetik laporan Bernama, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya Ara Abdul Hamid, 76, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Dalam pada itu, seorang lagi cucu kepada warga emas itu cedera di kepala dan dirawat di HPSF.
Kemusnahan rumah tersebut adalah sekitar 85 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Menurut saksi kebakaran rumah diperbuat daripada separuh kayu dan batu itu berlaku sekitar 1.30 pagi,” kata Raiz Mukhliz ketika dihubungi pemberita semalam.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Mohd Fadli Ismail berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.25 pagi. Susulan itu, seramai 21 anggota dari BBP Muar dan Pagoh telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Operasi memadamkan kebakaran tamat pada pukul 4.24 pagi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian