Ini 10 Pemimpin Yang Nekad Tinggalkan Tanah Air, ‘Hidup Dalam Buangan’
Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan siri protes ganas di Bangladesh yang mengakibatkan salah seorang pemimpin negara tersebut terpaksa melarikan diri.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir individu yang menyifatkan perkara ini sebagai tindakan pengecut.
Bagaimanapun, ada juga yang melihatnya sebagai langkah untuk melindungi diri daripada keadaan yang tidak terkawal.
Sebenarnya, kes pemimpin melarikan diri dari negara sendiri selepas digulingkan atau terpaksa berundur bukanlah satu perkara yang kedengaran ‘asing’.
Berikut adalah 10 pemimpin yang telah membuat keputusan nekad untuk meninggalkan tanah air mereka dan hidup dalam buangan.
1. Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina
Sheikh Hasina, yang telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama lima penggal, akhirnya menyerah susulan tekanan penunjuk perasaan.
Setelah kediaman rasminya diserbu oleh peserta protes, beliau melarikan diri ke India.
Pada usia 76 tahun, Hasina dilaporkan telah memohon suaka politik di Britain.
2. Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro
Jair Bolsonaro, 69, terbang ke Amerika Syarikat (AS) sehari sebelum tempoh pentadbirannya tamat pada 31 Disember 2022, dalam usaha mengelak daripada menghadiri majlis pelantikan penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva.
Kehidupan dalam buangan beliau berakhir pada Mac 2023, apabila beliau kembali ke Brazil.
Kini, Bolsonaro menghadapi beberapa kes mahkamah di tanah air.
3. Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa
Pada Julai 2022, pentadbiran Gotabaya Rajapaksa mengalami bantahan ganas akibat krisis ekonomi yang melanda Sri Lanka.
Setelah kediamannya diserbu oleh penunjuk perasaan, Rajapaksa, 75, melarikan diri ke Maldives sebelum terbang ke Singapura dan kemudian menetap di Thailand selama beberapa minggu.
Pada September tahun yang sama, beliau kembali ke Sri Lanka dan berdepan beberapa tuduhan di mahkamah.
4. Bekas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani
Pentadbiran Ashraf Ghani berakhir pada Ogos 2021 apabila Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan.
Ghani, 75, melarikan diri ke Tajikistan dan Uzbekistan sebelum diterima oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dasar kemanusiaan, di mana beliau masih menetap hingga kini.
5. Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra
Yingluck Shinawatra menjadi Perdana Menteri wanita pertama Thailand pada tahun 2011 hingga 2014.
Beliau didakwa atas beberapa tuduhan, termasuk penyalahgunaan kuasa.
Selepas rampasan kuasa, Yingluck, 57, melarikan diri ke Britain dan kini masih hidup dalam buangan di sana, walaupun tuduhan rasuah terhadapnya telah digugurkan.
6. Bekas Perdana Menteri Ukraine, Mykola Azarov
Pada tahun 2013, protes besar-besaran antikerajaan tercetus di Ukraine kerana keputusan pemerintah untuk tidak menandatangani perjanjian perdagangan bebas yang akan mempererat hubungan dengan Rusia.
Mykola Azarov, yang ketika itu berusia 76 tahun, meletakkan jawatan ketika protes mencapai kemuncaknya.
Beliau kini menetap di Moscow dan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelamat Kiev.
7. Bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych
Pada tahun 2014, Viktor Yanukovych menghadapi protes yang mengakibatkan lebih 100 penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa.
Popularitinya menjunam, dan pada Februari tahun yang sama, Yanukovych, 74, disingkirkan dari jawatan dan melarikan diri ke Rusia di mana beliau kini hidup dalam buangan.
8. Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf
Pervez Musharraf meletak jawatan pada Ogos 2008 setelah mencapai persetujuan dengan pihak tentera.
Beberapa bulan kemudian, beliau terbang ke Britain, namun kembali semula ke Islamabad pada tahun 2013.
Setelah didapati tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya, Musharraf melarikan diri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada tahun 2023, beliau meninggal dunia di Dubai pada usia 79 tahun.
9. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif
Pada tahun 1999, Nawaz Sharif digulingkan oleh Pervez Musharraf dan dipenjarakan selama setahun. Beliau kemudian hidup dalam buangan di Arab Saudi sehingga tahun 2007.
Pada tahun 2013, beliau sekali lagi dilantik sebagai Perdana Menteri, namun ditumbangkan oleh tuduhan rasuah.
Pada tahun 2018, Sharif, 74, dipenjarakan tetapi dibenarkan pergi ke Britain untuk rawatan setahun kemudian.
Setelah kembali ke Pakistan pada tahun lalu, beliau kembali aktif dalam politik, dengan adiknya, Shehbaz Sharif, 72, dilantik sebagai Perdana Menteri.
10. Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto
Benazir Bhutto hidup dalam buangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama lebih lapan tahun sejak 1999.
Beliau menjadi pemimpin pembangkang ketika Pervez Musharraf menggulingkan pentadbiran Nawaz Sharif.
Bhutto terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri ketika berkempen berhampiran ibu kota Islamabad pada Disember 2007, ketika berusia 54 tahun.
BACA: Rusia Larang Penerbangan Malam Di Ruang Udara Israel Selama Seminggu
BACA: Pesawat Terhempas Di Brazil, 61 Orang Terkorban
BACA: Agensi Meteorologi Jepun Beri Amaran Risiko Berlakunya Gempa Bumi Mega
Sumber: Sinar Harian