Pilu, Suami Meninggal Dunia Selepas Dua Minggu Isteri Dijemput Ilahi
Sandakan — Dua minggu selepas isteri meninggal dunia, seorang lelaki menghembuskan nafas terakhir pada Selasa di Kampung Seaview, lapor Sinar Harian.
Safry Roslan, 35, disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.50 pagi di Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Menurut Sinar Harian, arwah isterinya, Airyn Darwisa Rudy, 25, telah disahkan meninggal dunia pada 30 Julai semasa melahirkan anak keempat pasangan tersebut.
Menurut adik Allahyarham, Jefrie Roslan, Allahyarham berada dalam keadaan yang sihat. Namun, sehari sebelum meninggal dunia, Allahyarham berkelakuan luar biasa terhadap ahli keluarga dan rakan sekerja.
BACA: Dua Warga Emas, Seorang Cucu Maut Dalam Kebakaran Di Pagoh
“Pada Isnin lalu, arwah kelihatan sihat saja dan pergi kerja seperti biasa. Cuma ada kawan-kawan memberitahu dia bersikap pelik apabila sepanjang hari itu dia bersalaman, meminta maaf dan memeluk rakan-rakan sekerja.
“Ketika di rumah pula, dia bawa kami sekeluarga makan bersama-sama dan turut meminta maaf jika ada salah dan silapnya.
“Pada awalnya saya tertanya-tanya tetapi saya menganggap mungkin dia rindukan arwah isterinya,” katanya.
BACA: Kasih Seorang Bapa, Kreatif Ubah Suai Basikal Demi Keselesaan Anak Ke Sekolah
Jefrie turut memberitahu Allahyarham abangnya pernah bermimpi bertemu arwah isterinya.
“Pada malam sebelum dia ‘pergi’, kami bersembang dan dia bercerita arwah isterinya ada bertemu dan mengajaknya ke ‘rumah’ baharu mereka yang cantik.
“Saya anggap mungkin arwah terlalu rindukan isterinya kerana selepas isterinya meninggal, dia kerap bermimpi dan mengigau,” tambahnya.
Menurutnya lagi, Allahyarham kerap bermimpi dan mengigau beberapa kali pada malam itu.
BACA: Permohonan MyKid Dibuka Semula Bermula 29 Julai – JPN
“Dia mengigau sekitar jam 1 lebih pagi, kami bangunkan dia dan duduk sekejap sebelum baring semula tetapi dia terus mengigau.
“Tidak lama kemudian, tiada kedengaran suara dia mengigau dan terus senyap. Kami pantau keadaannya tetapi dia seperti tidak sedarkan diri.
“Dia sedar sekejap dan menarik nafas kemudian diam. Dalam tiga kali dia begitu,” ujarnya lagi.
Berikutan melihat keadaan Allahyarham yang semakin teruk, ahli keluarga membawa Allahyarham ke hospital untuk pemeriksaan.
“Kami kemudian dimaklumkan dia sedang kritikal dan meminta kami terus berdoa sementara doktor berusaha tetapi sekitar jam 2.50 pagi, akhirnya abang disahkan telah tiada,” maklumnya.
Allahyarham turut sempat menyampaikan pesanan kepada adiknya untuk menjagakan anak bongsu pasangan itu yang baru lahir.
Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di sebelah kubur arwah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Aman Sandakan.
Sumber: Sinar Harian