Doktor Diperkosa & Dibunuh, Ribuan Lancar Mogok Di India
New Delhi, India – Para doktor di India telah melancarkan mogok di beberapa buah bandar pada Sabtu sebagai tanda protes terhadap jenayah rogol dan pembunuhan rakan sekerja mereka, lapor AFP.
Penemuan satu mayat doktor berusia 31 tahun dalam keadaan berlumuran darah di salah sebuah hospital milik kerajaan di Kolkata pada 9 Ogos lalu menggemparkan negara terbabit.
Mayat mangsa ditemui di dewan seminar hospital dalam keadaan yang menyayat hati. Ketika kejadian, mangsa dipercayai berada di situ untuk berehat selepas bertugas selama 36 jam.
BACA: Protes Anti Kuota Di Bangladesh, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?
Hasil bedah siasat mengesahkan berlakunya serangan seksual terhadap mangsa. Dalam masa yang sama, petisyen yang dibuat oleh ibu bapa mangsa kepada pihak mahkamah ada menyatakan bahawa mereka mengesyaki mangsa diperkosa beramai-ramai.
Berikutan itu, seorang lelaki yang juga bertugas di hospital berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Protes tersebut bukan sahaja dihadiri oleh doktor, malah puluhan ribu orang awam turut serta bagi menuntut keadilan dengan diketuai oleh doktor dan pekerja bidang kesihatan.
BACA: Doktor Muda Di England Lancar Mogok Paling Lama Dalam Sejarah NHS
“Tangan yang menyembuhkan tidak sepatutnya berdarah,” tulis salah seorang peserta di papan tanda yang dipegangnya.
Sementara itu, beberapa negeri menyaksikan perkhidmatan hospital kerajaan yang diberhentikan dengan beberapa kesatuan perubatan dalam sistem kerajaan dan swasta turun menyokong mogok tersebut.
Persatuan Perubatan India (MIA) telah menghantar bantahan dengan mengadakan penarikan perkhidmatan seluruh negara dalam tempoh 24 jam. Negara itu turut menyaksikan penggantungan kesemua prosedur yang tidak penting.

BACA: Ambil Tindakan Segera Jika Ada Kecuaian Dalam Perkhidmatan Awam – PM
“Kami memohon sokongan dan persefahaman dari negara dalam tuntutan keadilan untuk para doktor dan anak-anak perempuan.
“Mangsa ditugaskan untuk bekerja selama 36 jam dan berada di ruang rehat yang tidak selamat, mohon baik pulih keadaan kerja dan kehidupan doktor residen secara menyeluruh,” kata MIA dalam satu kenyataan.
Dalam masa yang sama, para doktor turut menuntut pelaksanaan Akta Perlindungan Pusat, satu rang undang-undang untuk melindungi pekerja bidang kesihatan dari keganasan.
Sumber: AFP