Perdagangan Dan Eksport Catat Pertumbuhan Kukuh Dua Digit
Perdagangan Malaysia kekal kukuh pada Julai 2024, meningkat 18.3% tahun ke tahun, merupakan kadar terpantas dalam tempoh 21 bulan. Dari segi nilai, ia berjumlah RM255.88 bilion, nilai perdagangan tertinggi direkodkan sejak Oktober 2022.
Eksport terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut, berkembang 12.3% kepada RM131.15 bilion manakala import naik 25.4% kepada RM124.73 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM6.42 bilion, merupakan lebihan yang ke-51 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.
Pertumbuhan eksport telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan dua digit. Berbanding dengan Jun 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 7.6%, 4.1% dan 11.6%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama tahun 2024, perdagangan meningkat 9.8% kepada RM1.652 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, merupakan nilai perdagangan tertinggi direkodkan bagi tempoh ini. Eksport naik 5.1% kepada RM862.23 bilion dan import meningkat 15.5% kepada RM789.71 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM72.52 bilion dicatatkan pada tempoh tersebut.
Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9% pada suku kedua tahun 2024. Pertumbuhan ketara bagi dua suku tahun berturut-turut pada tahun ini menunjukkan negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2024 yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Ini dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan membuka ruang yang lebih luas bagi peluang perdagangan. Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menganggarkan jumlah perdagangan barangan dunia akan berkembang sebanyak 2.6% pada tahun 2024, satu peningkatan ketara berbanding pertumbuhan negatif 1.2% direkodkan pada tahun 2023.
Ekonomi global dilihat bertambah baik dari bulan ke bulan, disumbangkan oleh peningkatan permintaan dunia, namun begitu WTO telah menekankan bahawa ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan politik berkemungkinan akan menghadkan skala pemulihan perdagangan global.
MITI dan agensi akan sentiasa peka terhadap cabaran global yang tidak dijangka di mana ianya boleh mempengaruhi trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia.