Pusat 3S BYD terbesar di Sarawak tambah kapasiti jualan dan perkhidmatan
MIRI, 12 Oktober 2026 – BYD Sime Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia telah melancarkan sebuah Pusat 3S baharu di Miri, menandakan pengembangan operasi terbaharunya di Malaysia Timur dalam usahanya membolehkan lebih ramai pelanggan mendapatkan perkhidmatan jualan, servis dan lepas jualan di Sarawak.
Pusat 3S Miri yang meliputi kawasan seluas 12,228 kps ialah kemudahan 3S terbesar BYD di Sarawak sehingga kini, menyediakan sokongan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung. Kemudahan ini terdiri daripada bilik pameran seluas 5,838 kps dengan kapasiti untuk mempamerkan lima kenderaan, dan pusat servis seluas 6,390 kps yang menyediakan enam ruang servis dengan keupayaan mengendalikan sehingga 35 kenderaan sehari.
Bertekad untuk menyokong pelanggan dari saat mereka meninjau kenderaan sehingga pemilikan, pusat ini juga menyediakan ruang istirahat pelanggan, kaunter bar, bilik perbincangan, ruang penyerahan kenderaan terkhusus dan kemudahan pengecasan EV bagi pelanggan jualan dan servis BYD.


“Pembukaan Pusat 3S Miri merupakan satu mercu jaya bagi BYD di Sarawak. Dengan semakin ramai pelanggan beralih kepada mobiliti elektrik, kami mahu memastikan bahawa rangkaian kami berkembang seiring dengan pertambahan bilangan pelanggan, dengan akses mudah bukan sahaja kepada kenderaan kami, tetapi juga perkhidmatan dan sokongan lepas jualan yang mengutamakan pengalaman pemilikan yang positif. Pusat baharu ini meningkatkan lagi keupayaan kami untuk menyokong pelanggan di Sarawak,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors, Asia Tenggara.
Dikendalikan oleh Kah Progression Auto Sdn. Bhd., Pusat 3S Miri disokong oleh 15 kakitangan yang mengendalikan operasi jualan dan lepas jualan. Kah Progression Auto ialah anak syarikat milik penuh Oriental Holdings Berhad, yang membawakan pengalaman industri automotif melebihi 60 tahun di Malaysia, Singapura dan Brunei. Kerjasamanya dengan BYD dan Sime Motors memanfaatkan pengalaman automotif tersebut, dalam usahanya menceburi segmen EV, membawakan pengetahuan pasaran tempatan dan keupayaan operasi untuk menyokong pelanggan BYD di Miri.

Bagi meraikan pelancaran dan mendekatkan lagi jenama dengan komuniti tempatan, Kah Progression Auto akan menganjurkan jelajah interaktif di Aras Bawah, East Court (Sayap Lama), Bintang Megamall, dari 16 hingga 18 Oktober 2026, yang berlangsung setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Pembukaan di Miri adalah sebahagian daripada pertumbuhan berterusan BYD Sime Motors di serata Malaysia Timur. Pada Disember 2024, Sime Motors membuka Pusat 3S BYD pertama Malaysia Timur di Kota Kinabalu, menyediakan pusat jualan dan lepas jualan terkhusus bagi pelanggan di Sabah. Dengan Miri kini mengukuhkan liputan di Sarawak, BYD Sime Motors terus berusaha memperkukuh keupayaan 3S di kedua-dua negeri.
Di Sarawak, BYD Sime Motors kini mengendalikan 3 cawangan rasmi di Kuching, Sibu dan Miri. Pusat 3S Miri meningkatkan lagi kapasiti perkhidmatan selanjutnya dan menyediakan hab terkhusus bagi pelanggan di bahagian utara Sarawak.
“Pembukaan Pusat 3S Miri menandakan satu lagi langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan BYD di Malaysia Timur. Seiring dengan peningkatan penggunaan EV di luar bandar utama, kami mahu mendekati pelanggan kami dan memudahkan pelanggan mendapatkan produk serta perkhidmatan dan sokongan lepas jualan kami. Bersama rakan pengedar kami, Kah Progression Auto, kami berharap untuk meningkatkan kesedaran tentang EV dan membawa kenderaan dan teknologi bateri kami lebih dekat dengan komuniti tempatan,” kata Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia.
