Siakap Keli
Tengku hassanal murka muhyiddin
Gambar: BERNAMA

Tengku Hassanal Murka Kenyataan Muhyiddin, Gesa Polis Ambil Tindakan

Tengku Hassanal Murka Kenyataan Muhyiddin, Gesa Polis Ambil Tindakan

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan murka terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan perdana menteri.

Titah baginda, Muhyiddin secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Sebagai bekas perdana menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kupada rakyat bahawa Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

“Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut,” titah Tengku Hassanal dalam satu kenyataan.

Baginda bertitah Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.

BACA: Cecah Lebih 360 Juta Pengikut, Ini 10 Kelab Bola Sepak Dengan Peminat Paling Ramai Di Dunia

“Baginda semasa itu telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan Perdana Menteri dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.

“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah Tengku Hassanal.

Disebabkan itu, Tengku Hassanal mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).

“Saya juga ingin menasihatkan semua ahli politik mestilah sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia yang merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestrai dan rakyatnya bahagia,” titah baginda.

Sumber: Kenyataan Istana Abdulaziz Kuantan

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.