Dua Kanak-Kanak Disangka Hilang, Rupanya Terperangkap 9 Jam Dalam Lif
KUALA LUMPUR — Disangka hilang, dua kanak-kanak lelaki rupa-rupanya berdepan detik cemas selepas terperangkap sekitar sembilan jam dalam lif sebuah apartmen semalam, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata pihakanya menerima dua laporan mengenai kegusaran keselamatan mereka.
Ujarnya, kedua-dua mereka berumur 10 dan 11 tahun disyaki terperangkap dalam lif apartmen sekitar sembilan jam.
“Mangsa telah dijumpai semula dalam keadaan selamat,” katanya.
Difahamkan, kanak-kanak 10 tahun itu pada awalnya keluar dari rumahnya di Flat Desa Petaling bagi membeli pau sebelum mahu berjumpa kawannya di Apartmen Pangsaria berdekatan, menurut ibu saudaranya yang dikenali sebagai Ina.
“Saya diberitahu anak abang saya (mangsa) itu keluar kira-kira jam 2 petang, namun sehingga jam 10 malam masih tidak pulang.
“Usaha pencarian dilakukan kami sekeluarga di kawasan sekitar, memang risau masa itu,” ujarnya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Terdahulu, berita kehilangan dua kanak-kanak tersebut turut dimuat naik di Facebook dan menjadi tular di media sosial.
Kanak-Kanak Orang Asli Dilaporkan Hilang Ditemui Meninggal Dunia
Dua hari lalu, SK melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas ditemui meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kira-kira 1.30 awal pagi semalam yang memaklumkan berkenaan Nuraina Humaira Rosli, 10, yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat petang.
Beliau berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemukan sekitar 4.20 petang semalam selepas pencarian dilakukan oleh kira-kira 60 orang melibatkan polis, bomba dan orang kampung dengan khidmat anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia sejak 7 pagi.
Lebih menyayat hati, mangsa dipercayai dibunuh selepas siasatan awal mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.
Sumber: Sinar Harian