Elak Isu Ketirisan Dan Integriti, Maritim Malaysia Praktik Pusingan Kerja Pegawai Dan Anggota
PUTRAJAYA, 22 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mempraktikkan pelaksanaan pusingan kerja pegawai dan anggotanya dan telah menjadi amalan sedia ada bagi mengelakkan berlakunya ketirisan atau isu integriti dalam kalangan warganya.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tindakan berkenaan seiring dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengelak berlakunya pelanggaran integriti di kalangan warga.
Beliau turut menjelaskan, tindakan tegas boleh diambil di peringkat dalaman sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau anggotanya didapati culas serta tidak berintegriti ketika menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
“Sehubungan itu beberapa langkah telah diambil dalam menanganinya termasuk melaksanakan pusingan kerja bagi posisi tugas yang berisiko selain turut mengenakan tindakan tatatertib bagi mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat isu tersebut,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat KDN di sini hari ini.
Datuk Saiful dalam pada itu turut berkata, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam(SSPA) yang ditekankan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) juga merupakan satu pendekatan baharu yang wajar dalam memastikan setiap penjawat awam khususnya di Maritim Malaysia sentiasa berdaya saing dengan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan masyarakat.
Jelas Datuk Saiful, ini seiring dengan ucapan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Haji Ubi pada majlis yang sama di mana beliau menegaskan agar Maritim Malaysia memperketatkan lagi kawalan sempadan perairan negara memandangkan masih terdapat laporan aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.
“Setiap pegawai dan anggota Maritim Malaysia perlu memastikan kawalan sempadan perairan negara sentiasa optimum dalam usaha mengekang aktiviti salahlaku dan jenayah di kawasan berkenaan.
Mereka juga perlu meletakkan integriti sebagai tunjang utama ketika melaksanakan tugas dan sewajarnya ini menjadi ikrar mereka.
“Perkara ini akan diberikan perhatian agar Maritim Malaysia juga dapat menyokong usaha Kementerian dalam menjayakan KDN For The Next Generation – KDN2050 tercapai,” tambah Datuk Saiful.
Terdahulu beliau bersama ketua-ketua jabatan dan pengurusan tertinggi KDN mengiringi Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Sri Saifuddin Nasution Ismail melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan di hadapan Bangunan Setia Perkasa, pagi tadi.
Beliau berkata sambutan seperti ini perlu bagi mengenang kembali perik jerih perjuangan orang terdahulu dalam memerdekakan tanah air.
Justeru beliau berharap penguat kuasa Maritim Malaysia teguh dan kental dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman perairan negara bagi memastikan negara kekal aman dan sejahtera.