Motosikal Roda Tiga Jadi ‘Rumah’, Tempat Niaga Lelaki OKU
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di bandar raya Alor Setar, Ismail Zaki Abdul Razak, 59, menjadikan motosikal roda tiga sebagai ‘rumah’ sementara sejak empat bulan lalu, selepas memulakan rawatan dialisis bagi penyakit buah pinggangnya.
Ismail, yang menetap di Alor Sekawan, Tajar, perlu menempuh perjalanan yang cukup jauh dari rumahnya ke Hospital Alor Setar bagi sesi dialisis.
Oleh kerana itu, dia membuat keputusan untuk tidak pulang ke rumah dan sebaliknya memilih untuk berniaga makanan ringan menggunakan motosikalnya di pelbagai lokasi sekitar Alor Setar setiap hari.

“Pada waktu pagi saya akan berada di Restoran Top D’ Alor Setar sehingga jam 3 petang, kemudian pada jam 4 petang saya akan ke Restoran Pine 2 di Simpang Kuala, sehingga jam 11 malam sebelum bergerak ke Pasar Borong sehingga pagi,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Menurut Ismail, kadangkala, apabila penat atau mengantuk, dia akan tidur di atas motosikalnya.
“Ini rutin saya setiap hari, kiranya saya berniaga 24 jam. Tindakan ini memang tak baik untuk kesihatan saya, tapi saya terpaksa, sebab saya pun tinggal seorang diri selepas bercerai dengan isteri,” ujarnya.
Ismail menjelaskan dia telah berstatus OKU sejak tahun 2003 apabila kaki kirinya terpaksa dipotong.
“Saya hampir berputus asa untuk hidup, namun saya bernasib baik ada ramai yang masih beri sokongan kepada saya termasuk kakitangan di tempat saya dialisis,” katanya.
Ismail juga menyatakan bahawa dia mendapat motosikal dari sumbangan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Kemudiannya, sumbangan berharga itu memberinya idea untuk menjadikannya sebagai kedai runcit bergerak.
“Kalau ikutkan jualan saya ini tidak untung sangat, cuma ramai yang bersedekah kepada saya, jadi dapat RM50-RM60 sehari,” katanya.
Tambah Ismail, dia berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang telah memberi bantuan kepadanya sejak bergelar OKU.
“Saya juga berterima kasih kepada pemilik syarikat Johan Group yang memberi bantuan RM150 setiap bulan kepada saya.
“Saya bersyukur masih ada orang yang prihatin dengan nasib saya. Malah, ke mana saya pergi, saya sentiasa berjumpa dengan orang yang baik-baik,” katanya.
Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan, Ismail turut menghias motosikalnya dengan bendera Malaysia.

Katanya, untuk membeli bendera dan mengupah rakan memasangnya, dia telah mengeluarkan modal sebanyak RM100.
“Ini kali pertama saya hiasi motosikal dengan bendera, sebab tiba-tiba terdetik di hati saya, saya rakyat Malaysia tapi saya tak buat apa pun bila tiba hari merdeka.
“Jadi ini saja usaha kecil saya dengan keluarkan sedikit duit hasil jualan untuk beli bendera,” katanya.
Menurut Ismail, pada 31 Ogos ini, dia akan berada di sekitar Alor Setar termasuk lokasi-lokasi tumpuan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Sementara itu, bagi orang ramai yang ingin membantu Ismail, mereka boleh menghubunginya di talian 011-21473216.
BACA: Insiden Tanah Jerlus: Operasi Hari Kedua Belum Temukan Petunjuk Baharu
BACA: Anak Setia Menanti Berita Ibu Hilang Dalam Insiden Tanah Jerlus
BACA: Pengasas Aplikasi Telegram, Pavel Durov Dilapor Ditahan
Sumber: Sinar Harian