Dilapor Hilang Sejak Ahad, Lelaki Ditemui Lemas
Seorang lelaki yang pernah dilaporkan hilang pada Ahad lalu telah ditemui lemas di Sungai Pahang hari ini, lapor Sinar Harian.
Mangsa, Mohd Suffian Abu Bakar, 39, ditemui terapung berdekatan tangki air Kampung Pasir Panjang. Menurut laporan, mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 9.35 pagi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke unit Forensik Hospital Pekan untuk bedah siasat.
BACA: Tertimbus Ketika Musnahkan Bom, Dua Anggota Polis Parah
“Hasil bedah mendapati tiada sebarang unsur mencurigakan pada tubuh badan si mati dan mengklasifikasikan kematian sebagai Drowning.
“Mayat telah diserahkan kepada pihak keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohd Zaidi berkata lagi, kakak Suffian telah mengesahkan mayat yang ditemui adalah mangsa. Pengesahan dibuat berdasarkan pakaian dan tanda pada badan mangsa.
BACA: Polis Siasat Penemuan Mayat Terbakar Berhampiran Stesen KTM Serdang
Menurutnya lagi, laporan terdahulu menyatakan mangsa hilang dan tidak pulang ke rumah selepas keluar menunaikan solat Maghrib di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, pada Ahad.
Mangsa dikatakan tidak membawa sebarang barang keperluan bersamanya.
“Ahli keluarga berusaha mencari mangsa di kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj tetapi tidak menemukannya.
“Kali terakhir dilihat memakai baju warna ungu, seluar slack berwarna coklat, berkopiah putih dan selipar hitam,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian