Langgar Tayar Lori Bergolek, Penunggang Motosikal Maut
SEREMBAN — Gara-gara sebuah tayar lori bergolek dari arah bertentangan, seorang penunggang motosikal maut apabila terlanggar tayar berkenaan dalam satu kejadian di kilometer 266.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara hari ini, petik Sinar Harian.
Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian berlaku pada 7.30 pagi, mangsa, 47, difahamkan dalam perjalanan dari arah Sikamat menuju ke Putrajaya, kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah terlanggar sebuah tayar lori yang sedang bergolek dari arah bertentangan yang masuk ke laluannya.
“Akibatnya motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ke kiri melanggar besi kiri penghadang jalan,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Hatta, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
“Sementara itu, lori yang terlibat berserta pemandunya iaitu lelaki berumur 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.
“Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya.
Sebelum ini, tular seorang penunggang motosikal dilapor cedera selepas terkena tayar sebuah lori yang terpelanting ketika melalui satu jalan, lapor SK.
Menurut Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku di Jalan Syed Putra di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian malang menimpa penunggang motosikal itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.46 pagi.
Hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut dan terpelanting lalu terkena motosikal.
Malah juga tayar berkenaan turut mengenai sebuah kereta yang berada di laluan sama.
Penunggang motosikal terpelanting, terkena tayar terbang
“Penunggang motosikal berusia 55 tahun mengalami kecederaan ringan dan masih dalam rawatan hospital.
“Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Sumber: Sinar Harian