Faisal Halim Sebak Ketika Melawat Wisma FAM
Pemain sayap pasukan bola sepak negara, Faisal Halim, kelihatan sebak ketika melawat Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, hari ini.
Menurut Sinar Harian, pemain bola sepak Harimau Malaya itu meluahkan rasa sedih apabila tidak dapat bersama pasukannya untuk Pestabola Merdeka tahun ini. Dalam masa yang sama, dia turut sebak apabila terkenang memori indahnya bersama pasukan negara yang tersemat di bangunan berkenaan.
“Sebenarnya saya sedih, sebab saya tak dapat bersama pasukan.
BACA: Topeng Faisal Halim Direka Khas Penyelidik Universiti Malaya
“Saya sudah banyak tahun (bersama Harimau Malaya), inilah tempat saya berjuang untuk pasukan kebangsaan dengan rakan-rakan dan jurulatih. Tapi hari ini saya datang sebagai tetamu melihat rakan berlatih,” katanya.
Kehadiran Faisal di wisma berkenaan bagi memenuhi jemputan khas FAM sebagai tetamu ketika hari pertama pasukan kebangsaan mengadakan latihan bersempena Pestabola Merdeka. Pesta anjuran FAM ini bakal bermula pada 4 September hingga 10 September 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketika ditanya, Faisal memberitahu wartawan yang dia berkemungkinan akan beraksi tidak lama lagi.
BACA: Faisal Halim Teruja Kembali Beraksi Di Padang
“Saya rasa tak lama lagi saya akan kembali, insya-Allah. Saya harap semua dapat mendoakan saya. Saya tak sabar untuk kembali. Saya datang hari ini selepas Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) hubungi saya semalam (Rabu) bagi memberikan semangat kepada rakan sepasukan dan saya pun rindu saat ini.
“Sekarang masa untuk saya dapatkan prestasi, dapatkan saya punya fitness, saya punya strength, saya punya clutch,” katanya kepada wartawan.
https://www.facebook.com/watch/?mibextid=xfxF2i&v=490388937083312&rdid=FaPkCdn5kDCioDHU
BACA: Faisal Halim Luah Tidak Lagi Dapat Menjalani Kehidupan Seperti Biasa
Terdahulu, Faisal terpaksa berehat dari dunia bola sepak apabila terlibat dalam insiden simbahan asid yang menyebabkan sebahagian anggota badannya melecur tahap empat. Pemain pasukan Selangor FC itu juga pasrah apabila terpaksa berundur diri demi proses penyembuhan kecederaan yang dialami.
11 Ogos lalu, Faisal berkesempatan turun ke padang ketika perlawanan Selangor FC bertemu Kelantan Darul Naim FC pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan tersebut tamat.
“Alhamdulillah walaupun 10 minit agak bermakna buat saya dan pasukan. Saya perlu dapatkan semula kecergasan, namun menerusi semua data sebelum saya turun (ke padang) menunjukkan yang saya dah bersedia.
“Perasaan saya ada suka dan sedih sebenarnya, tapi ini saat yang ditunggu. Ini janji saya untuk pasukan kembali beraksi, alhamdulillah saya mahukan lebih lagi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian