Kenapa Juruterbang Pesawat Pejuang Pakai Topeng Oksigen, Juruterbang Komersial Tak? Ini Sebabnya
Kerjaya sebagai juruterbang sememangnya kelihatan gah pada pandangan mata orang awam. Namun siapa sangka, pekerjaan ini sebenarnya penuh dengan cabaran dan berisiko tinggi.
Mengendali kapal terbang bukan seperti memandu kereta atau kenderaan lain kerana cara pengendalian amat berbeza. Untuk memahirkan diri, mereka yang mahu menjadi juruterbang perlu mengikuti latihan secara intensif di sekolah-sekolah penerbangan.
Apatah lagi jika mahu menjadi juruterbang pesawat pejuang, latihan yang perlu ditempuhi mungkin menjadi berganda dan lebih sukar.
Jika anda perasan, juruterbang pesawat pejuang biasanya memakai topeng oksigen ketika menerbangkan pesawat tempur masing-masing, kan?
Ini berbeza dengan juruterbang pesawat komersial yang tidak memerlukan topeng oksigen semasa bertugas.
Sehubungan itu, SK hari ini hendak berkongsi beberapa info menarik disebalik topeng oksigen yang dipakai juruterbang pesawat pejuang.
Ini sebab juruterbang pesawat pejuang pakai topeng oksigen, juruterbang komersial tak
Menurut portal Simple Flying, pesawat pejuang lazimnya berdepan tekanan secara dinamik yang berubah-rubah mengikut ketinggian pesawat diterbangkan.
Manakala pesawat komersial pula mengalami tekanan secara statik. Keadaan ini menjadikan pernafasan dalam pesawat komersial adalah lebih mudah dan konsisten.
Ketika terbang pada altitud tinggi, juruterbang pesawat pejuang akan mengalami kesukaran untuk bernafas seperti biasa.
Maka, topeng oksigen diperlukan untuk membekalkan udara dan oksigen secara terus kepada juruterbang untuk memudahkan mereka bernafas dengan baik.
Tanpa bekalan oksigen yang cukup, juruterbang pesawat pejuang boleh mengalami hipoksia ketika berada dalam situasi perubahan tekanan yang pantas.
Menurut Simple Flying lagi, hipoksia adalah keadaan di mana otak seseorang itu tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.
Situasi yang sama juga boleh berlaku kepada penumpang pesawat komersial sekiranya mereka tidak memakai topeng oksigen ketika tekanan dalam kabin pesawat berubah dengan pantas.
Fungsi topeng oksigen mempunyai kaitan dengan misi
Selain topeng oksigen, juruterbang juga memakai helmet khas tidak diperlukan oleh juruterbang pesawat komersial.
Helmet ini memiliki pelbagai fungsi, antaranya sistem komunikasi seperti pembesar suara dan mikrofon yang dipasang pada bahagian dalamnya.
Menurut portal Simple Flying, juruterbang yang bertugas dapat berkomunikasi dengan pangkalan dan juruterbang yang lain melalui topi keledar mereka.
Selain itu, alat bantuan visual juga boleh diakses melalui sistem-sistem yang ada pada helmet khas tersebut. Manakala komponen visor pula boleh melindungi juruterbang daripada sinaran ultraungu.
Ia dapat mengelak visual juruterbang terjejas dengan cahaya matahari pada altitud tinggi.
Secara ringkasnya, helmet khas tersebut sangat penting untuk membantu juruterbang menerbangkan pesawat dan menjalankan misinya.
Manakala topeng oksigen dapat memastikan juruterbang mendapat bekalan oksigen yang mencukupi ketika mengendalikan pesawat dan berada dalam situasi perubahan tekanan yang pantas.
BACA: Anak Mogok Lapar Tiga Hari, Mak Hanya Jual Bunga Terpaksa Akur Belikan Iphone
Sumber: Simple Flying