Tanah Mendap: Tiada Kebocoran Paip Berhampiran Jalan Masjid India – Air Selangor
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menafikan berlakunya kebocoran paip di kawasan Jalan Masjid India sehingga menyebabkan kejadian mendapan tanah di hadapan bangunan Ariani.
Menerusi siaran media, Air Selangor memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menghubungi Pejabat Wilayah Kuala Lumpur Air Selangor pada 29 Ogos 2024 bagi memaklumkan mendapan tanah yang dipercayai disebabkan oleh kebocoran paip Air Selangor.
BACA: Pasar Malam Lorong TAR Ditutup Esok Bagi Operasi SAR Di Jalan Masjid India
“Setelah semakan lanjut dilakukan, pihak Air Selangor ingin mengesahkan bahawa tiada kebocoran paip di kawasan tersebut.
“Air Selangor ingin menegaskan bahawa kejadian mendapan tanah yang dilaporkan oleh DBKL tersebut bukan disebabkan oleh paip bocor yang memerlukan kerja-kerja penggantian paip segera oleh Air Selangor,” kata Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri menerusi siaran media tersebut.
BACA: Tanah Jerlus: Dua Kali Bomba ‘Selam’ Stesen Pam Sisa Kumbahan Cari Mangsa
Pihak Air Selangor menyarankan para pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung Air Selangor melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi talian 15300.
Terdahulu, tular mengenai kejadian mendapan tanah di kawasan tersebut beberapa hari selepas kejadian lubang benam di hadapan Masjid India, yang menyaksikan seorang wanita terjatuh dan sehingga kini masih belum ditemui.
Sumber: Air Selangor Sdn Bhd