Central Kitchen Kami Telah Menerima Sijil Halal JAKIM – Dolly Dim Sum
Syarikat restoran makanan popular, Dolly Dim Sum dalam memaklumkan dapur berpusat (central kitchen) yang membekalkan bahan-bahan dan makanan separa siap ke semua cawangannya telah menerima sijil halal dari pihak JAKIM.
Menerusi satu hantaran, restoran itu berkata sijil halal tersebut telah diterima pada 1 Ogos lalu.
Bagaimanapun, pihaknya berkata restoran itu masih dalam proses mendapatkan sijil halal daripada JAKIM untuk setiap cawangannya.
“Anda boleh menyemak status halal kami di laman web JAKIM dengan menggunakan Sembilan digit terakhir 021-06/2024.
“Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman kami pada 1 Ogos 2024, kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami.
“Memperoleh sijil halal Dapur Berpusat (Central Kitchen) adalah sebahagian dari langkah penting dalam keseluruhan proses pensijilan ini.
Restoran itu berharap penjelasan tersebut dapat menjelaskan kebimbangan orang ramai.
“Kami berharap dapat menjelaskan sebarang kebimbangan, dan kami berterima kasih atas kepercayaan serta sokongan anda,” katanya dalam satu hantaran.
Sebelum ini, JAKIM dalam satu kenyataan memaklumkan semakan status halal bagi premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw mendapati lima restoran itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Difahamkan, semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL JAKIM.
Jelas JAKIM, pertanyaan tersebut telah diajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM.
“Maklum balas yang disediakan oleh Jabatan ini telah dijana melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam tersebut,” katanya menjawab pertanyaan berkaitan isu status halal premis makanan.
Sementara itu, JAKIM turut menjelaskan premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best mempunyai SPHM yang masih sah.
“Berdasarkan semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best telah mempunyai empat outlet yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
“Jabatan ini telah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September 2024 jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Dolly Dim Sum