Tayangan Filem Aksi Komedi Amazon Original HOUSEKEEPING? Bermula 5 September 2024
Kuala Lumpur, 4 September 2024 – Filem terbaharu daripada pengarah Zahir Omar menampilkan filem aksi komedi bertajuk HOUSEKEEPING? selepas kejayaan beliau mengarah siri televisyen ‘Tira’ yang menjadikan beliau warga Malaysia mendapat tempat di salah satu studio utama Indonesia.
Barisan pelakon utama yang mewarnai filem ini ialah Alif Satar selaku Johan, Molly yang dibintangi oleh Sharifah Sakinah dan Fabian Loo melakonkan watak sebagai Ah Foo.
Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon tanah air seperti Pablo Amirul, Ropie Cecupak, Didie Alias, Khir Rahman, Angeline Tan, Maria Farida, Radhi Khalid, Sabrina Ali, Joanne Kam dan ramai lagi.
Plot filem ini bermula apabila Johan cuba mempertahankan rumah tangganya bersama Aida yang dilakonkan oleh Shiqin Kamal, seorang inspektor polis yang ingin bercerai akibat berlakunya konflik kewangan.
Ketika sedang mengemas sebuah bilik di hotel, Johan telah menjumpai sebuah beg yang berisi sejumlah wang bersama-sama rakan sekerjanya iaitu Molly dan Ah Foo. Mereka bertindak ingin membahagikan wang tersebut dan memulakan kehidupan baru.
Namun begitu, malang bagi mereka apabila wang tersebut sebenarnya milik sekumpulan samseng yang diketuai oleh Don A. Pelbagai aksi lucu dan kekecohan berlaku apabila mereka cuba melarikan diri daripada pihak polis dan samseng yang menginginkan wang tersebut.
Kerancakan HOUSEKEEPING? ini diselitkan juga dengan tingkah laku tetamu dan staf hotel yang aneh ketika hotel tersebut dikurung.
Kami berharap, penghasilan filem HOUSEKEEPING? ini mampu memberikan keceriaan dan menghiburkan penonton seluruh Malaysia. Penonton boleh mendapatkan filem ini di aplikasi Prime Video sejurus tayangan pada 5 September 2024. Pihak produksi mengucapkan terima kasih kepada Wyndham Hotel selaku penaja utama filem HOUSEKEEPING?.