Tourism New Zealand telah melancarkan kerjasama baharu bersama Klook melalui pelancaran kempen ‘Jalan-Jalan Muslim-friendly NZ’. Kempen ini akan berlangsung dari 6-22 September 2024 bersempena MATTA Travel Fair untuk memberikan kemudahan kepada pelancong untuk menempah pengalaman mesra Muslim untuk percutian mereka di New Zealand.
Ketibaan pelawat dari Malaysia ke New Zealand semakin meningkat – sehingga Jun 2024 iaitu melebihi 30,000, iaitu peningkatan sebanyak 31.6% berbanding tahun sebelumnya. Kajian ini menunjukkan bahawa pelancong Malaysia mencintai landskap di New Zealand yang menakjubkan, penduduk tempatan yang mesra dan pengalaman hidupan liar serta percutian yang tak dapat dilupakan.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Klook sebagai langkah penting dalam menjadikan New Zealand destinasi pilihan untuk pelancong Muslim. Kami komited untuk menyediakan pengalaman yang inklusif, di mana pelancong Muslim dapat menikmati landskap kami yang indah dan pengalaman unik dengan mudah. Kerjasama ini adalah bukti dedikasi kami untuk memahami dan memenuhi keperluan pasaran penting ini,” kata Gregg Wafelbakker, Pengurus Besar Asia di Tourism New Zealand.
Klook adalah platform utama di Asia untuk segala pengalaman unik dengan pelbagai tawaran menarik daripada 30,000 penyedia perkhidmatan lainnya. Mereka kini menawarkan lebih daripada 500 pengalaman percutian di New Zealand di platform mereka.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Tourism New Zealand dalam memperkenalkan lebih banyak pilihan perjalanan mesra Muslim menerusi platform kami,” kata Sarah Wan, Pengurus Besar Singapore, Indonesia dan Malaysia di Klook.
“New Zealand adalah destinasi yang kaya dengan kecantikan semula jadi dan kami teruja untuk menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelancong Muslim dari Malaysia. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar dan menyeronokkan yang memenuhi keperluan pelanggan kami.”
New Zealand adalah destinasi yang hebat sepanjang tahun, terutamanya pada musim luar puncak (off-peak) seperti musim bunga, musim sejuk dan musim luruh. Musim-musim ini menawarkan jumlah pengunjung yang kurang dan pengalaman yang luar biasa seperti menonton ikan paus, melihat bintang dan pengalaman luar yang hebat. Musim-musim ini antara Mac – November sepadan dengan cuti di Malaysia, seperti Hari Raya pada 2025 dan cuti sekolah pada bulan Mei, September, dan Oktober.
Kempen ‘Jalan-Jalan Muslim-friendly NZ’ akan menawarkan pelbagai pengalaman kepada pelancong Muslim Malaysia yang boleh mereka tempah dengan Klook, dengan jaminan bahawa keperluan perjalanan mereka dipenuhi.