Siakap Keli
apa itu dns
Kredit: Bernama

Apa Itu DNS? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Apa Itu DNS? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Istilah yang digunakan dalam bidang teknologi maklumat sememangnya sukar untuk difahami orang awam. Tambahan pula kebanyakan istilah ini menggunakan singkatan iaitu huruf pertama bagi istilah dalam Bahasa Inggeris.

Jadi kali ini, SK ingin merungkaikan kekusutan ini supaya pembaca lebih memahami dunia teknologi maklumat.

Sebagai permulaan, mari kita cuba kenali apa itu DNS.

DNS merupakan singkatan kepada sistem nama domain (Domain Name System), iaitu satu sistem yang memetakan alamat protokol Internet (IP address) ke alamat nama domain yang boleh difahami manusia. Bahasa yang lebih mudah, DNS ini umpama aplikasi Google Maps atau Waze dalam telefon bimbit anda yang menyimpan peta dan alamat kesemua tempat yang ada di Bumi.

Jika manusia menggunakan gabungan nombor dan perkataan bagi menulis alamat rumah kita, internet pula hanya menggunakan nombor bagi mengenal pasti ‘alamat’ sesuatu ‘tempat’ yang ada dalam internet. Itulah yang berlaku apabila kita masukkan alamat elektronik (URL) laman sesawang yang kita cuba layari.

BACA: Apa Yang Jadi Dengan Bumi Jika Semua Manusia Tiba-tiba Lenyap?

Sebagai contoh, manusia akan menaip perkataan ‘www.contohweb.my’ untuk mencari satu laman sesawang. Sedangkan, dalam simpanan internet, ‘alamat’ laman sesawang yang sama disimpan menggunakan gabungan nombor, iaitu 154.37.81.905 (contoh). Gabungan nombor ini bersifat unik dan khas untuk laman sesawang itu sahaja.

Jadi, kewujudan DNS ini ialah untuk memastikan internet dapat mengenal pasti mana satu laman sesawang yang pengguna cuba layari.

Setelah mengetahui apa itu DNS, mari kita lihat pula cara DNS berfungsi. Sebelum itu, terdapat beberapa perkara anda perlu tahu terlebih dahulu.

Seluruh perkataan ‘contohweb.my’ dipanggil nama hos (hostname). Apabila dipisahkan, perkataan ‘contohweb’ dikenali sebagai nama domain, ‘.my’ pula disebut domain paras tertinggi atau top level domain (TLD). Nombor 154.37.81.905 pula dikenali sebagai alamat IP.

Penting untuk anda tahu penggunaan istilah di atas untuk memahami cara DNS berfungsi.

Penjelasan fungsi DNS secara ringkas

Pencarian suatu laman sesawang menggunakan DNS akan melalui satu proses yang mempunyai empat peringkat. Proses ini melibatkan pencarian alamat IP laman sesawang melalui cache atau penyelesai rekursif (recursive resolver). Penyelesai rekursif merupakan pelayan yang menyelesaikan pencarian tersebut melalui pelayan punca (root server), kemudian melalui pelayan TLD (TLD server) dan akhir sekali, melalui pelayan nama autoritatif (authoritative name servers).

Bahasa paling mudah, bayangkan kita pergi melancong ke negara luar dan DNS ejen pelancongan. Kita sampai di satu tempat (internet), teringin untuk nikmati masakan di restoran viral jual tomyam. Kita beritahu ketua kumpulan (komputer) untuk cari restoran viral jual tomyam.

Pada mulanya, DNS bertanya kepada kawan (cache). Kawan DNS tiada ingatan tentang restoran viral jual tomyam di situ. Jadi, DNS terpaksa mencari sendiri.

DNS pergi berjumpa dengan ketua kampung (pelayan punca). Malangnya, ketua kampung tidak tahu kewujudan restoran viral jual tomyam. Tetapi, dia mengenali ramai pembekal bahan mentah (pelayan TLD). Salah satunya, pembekal pes tomyam. Ketua kampung berikan alamat pembekal pes tomyam kepada DNS.

BACA: Petanda Awal “Sinkhole”, Ini Yang Perlu Anda Perhatikan

Menggunakan alamat itu, DNS pergi berjumpa dengan pembekal pes tomyam untuk minta carikan restoran viral jual tomyam.

Pembekal pes tahu ada restoran viral jual tomyam tetapi tidak tahu alamat, hanya pengedar pes tomyam (pelayan nama autoritatif) yang tahu alamat restoran viral jual tomyam. Jadi pembekal pes tomyam berikan alamat pengedar kepada DNS.

Apabila DNS bertanya tentang alamat restoran viral jual tomyam, pengedar tahu. Jadi pengedar berikan alamat restoran viral jual tomyam kepada DNS.

Setelah selesai, DNS kembali kepada ketua kumpulan dan berikan alamat restoran viral jual tomyam. Akhirnya, ketua kumpulan dapat bawa kita ke restoran viral jual tomyam.

Keseluruhan proses ini menunjukkan cara DNS berfungsi. Setiap peringkat mempunyai lebih dari satu pelayan. Disebabkan itu, DNS perlu melalui setiap satu pelayan untuk kenal pasti alamat IP pelayan di peringkat seterusnya sebelum memperolehi alamat IP laman sesawang yang pengguna cari.

Jika anda ingin lebih mendalami proses ini, ikuti perkongsian SK di bawah.

Penjelasan fungsi DNS secara teknikal

Peringkat pertama, DNS akan cuba mencari alamat IP melalui cache.

Apabila ‘contohweb.my’ dicari melalui Google Search, DNS akan cuba mencari alamat IP laman sesawang tersebut melalui ingatan cache. Jika tiada simpanan alamat IP tersebut di dalam ingatan cache, DNS akan mulakan carian di peringkat seterusnya.

Di peringkat kedua, DNS akan mulakan proses dengan menggunakan pelayan punca. Pencarian dimulakan dengan mengenal pasti zon bagi TLD ‘contohweb.my’.

Dalam pelayan punca, ada beberapa pecahan zon mengikut TLD. Antara TLD yang biasa kita gunakan ialah ‘.com’, ‘.my’ dan ‘.gov’. Setiap satu TLD dilabel sebagai satu zon, dan setiap zon ada alamat IP pelayan peringkat ketiga, dipanggil pelayan TLD.

Jadi, apabila DNS cuba cari zon untuk ‘contohweb.my’, pelayan punca akan berikan DNS alamat IP untuk pelayan TLD yang menyimpan senarai kesemua domain yang menggunakan ‘.my’.

BACA: Kenali Pelantar Minyak Troll A, Binaan Paling Tinggi Pernah Dipindahkan Ke Laut

Dengan menggunakan alamat IP itu, DNS dapat kenal pasti pelayan TLD untuk pencarian di peringkat ketiga. Setelah berjaya disambungkan, DNS kemudiannya akan meminta pelayan  TLD ‘.my’ tersebut melakukan pencarian nama domain ‘contohweb’.

Apabila pelayan TLD berjaya menemui nama domain ‘contohweb’, pelayan TLD akan maklumkan pula kepada DNS alamat IP untuk pelayan nama autoritatif yang menyimpan alamat IP laman sesawang ‘contohweb.my’.

Peringkat terakhir, DNS akan berhubung dengan pelayan nama autoritatif untuk mendapatkan alamat IP laman sesawang ‘contohweb.my’.

Setelah menerima alamat IP tersebut, barulah DNS dapat beritahu kepada komputer alamat IP bagi laman ‘contohweb.my’ yang pengguna ingin layari. Akhirnya, komputer dapat sambungkan pengguna dengan laman sesawang menggunakan nombor alamat IP tersebut.

Alamat IP ini akan disimpan di bahagian cache untuk kegunaan masa depan.

Gambar rajah peringkat fungsi DNS

Sebagai kesimpulan, DNS merupakan sistem yang penting untuk kita ‘sampai’ ke mana-mana ‘destinasi’ dalam dunia Internet. Boleh dikatakan, DNS umpama ejen pelancongan yang bantu terjemahkan bahasa kita kepada dunia yang menggunakan bahasa asing.

Tanpa menggunakan DNS, kita perlu menyimpan sendiri semua alamat IP yang berbentuk nombor tadi, dan buat carian laman sesawang tanpa menggunakan sepatah perkataan pun yang kita faham.

Sumber: Fortinet, Fireship via YouTube, Nslookup.io, Cloudflare

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.