Kenali Pelantar Minyak Troll A, Binaan Paling Tinggi Pernah Dipindahkan Ke Laut
Keajaiban dunia sering dikaitkan dengan binaan gergasi yang melangkaui jangkaan teknologi pada zaman itu. Menurut National Geography, terdapat tujuh keajaiban dunia purba yang sehingga kini, proses pembinaan menjadi misteri iaitu Piramid Agung Giza, Taman Tergantung Babylon, Arca Zeus, Kuil Artemis, Makam Halicarnassus, Arca Gergasi Rhodes dan akhir sekali Rumah Api (Pharos) Alexandria.
Biarpun yang tercatat sebagai keajaiban dunia purba ini hanya tujuh binaan, namun sebenarnya hari demi hari, lebih banyak binaan dan tinggalan tamadun dahulu dijumpai oleh ahli arkeologi seluruh dunia. Ada yang dapat diketahui keseluruhan sejarahnya, dan ada juga yang kekal misteri disebabkan tiada catatan penuh ditemui.
Tahukah anda? Kemunculan keajaiban dunia ini tidak terhenti dalam sejarah dunia purba.
Teknologi dan perkembangan tamadun kini membuatkan lebih banyak binaan yang di luar jangkaan tetapi kekal utuh berpuluh tahun. Salah satunya ialah pelantar Troll A, di Lautan Utara antara Norway dan Denmark.
BACA: Teruja Bercampur Takut, Pekerja Atas Kapal Terpana Tengok Fenomena Belalai Air
Perjalanan ajaib pelantar Troll A
Dari daratan ke lautan, perjalanan pemindahan struktur binaan gergasi ini dicatatkan pada 1995 di pantai barat Norway. Pelantar minyak ini mula dibina pada 1991 dan dijadualkan untuk ditunda dengan 10 bot penunda pada 2 Mei 1995.
Namun, kejadian pelantar Sleipner karam di Serokan Gands beberapa tahun sebelum menyebabkan mereka lebih berhati-hati termasuk memeriksa keadaan cuaca. Penundaan jadual selama lapan hari ini menelan kos lebih RM800 ribu sehari.
Cuaca yang baik pada 10 Mei memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan rancangan. Dunia akhirnya dapat melihat perjalanan binaan gergasi itu yang ditunda oleh lapan bot tunda di hadapan, dan dua lagi di belakang untuk mengemudi.

Dengan kelajuan 1.8 kilometer per jam hingga 3.6 kilometer per jam, Troll A berjaya melepasi Serokan Yrkes. Saksikan dokumentari perjalanan Troll A menerusi video berikut.
https://www.facebook.com/watch/?v=225778664461838
Menerusi video ini, hanya 245 meter di bahagian atas sahaja dapat dilihat di atas permukaan laut.
Troll A, Satu Keajaiban Dalam Dunia Pembinaan
Dengan keseluruhan ketinggian 472 meter dari dasar laut, Troll A mencatatkan sejarah pemindahan bangunan tertinggi dari darat ke lautan luas. Dahulunya memegang Guinness Book of World Records sebagai pelantar minyak tertinggi di dunia pada tahun 1996, kini gelaran tersebut tidak lagi dipegang oleh Troll A.
BACA: Ronaldo Lancar Saluran YouTube, Raih 1 Juta “Subscribers” Dalam Tempoh Sejam
Biarpun begitu, masih belum ada binaan gergasi yang ditunda secara keseluruhan sebagai satu unit seperti Troll A, dan ini menjadikannya kekal sebagai binaan paling tinggi dicipta manusia yang dipindahkan di dunia, menurut Guinness Book of World Records.

Mengikut perbandingan, ketinggian Troll A hanya beberapa meter lebih tinggi dari Menara Berkembar Petronas. Video berikut menunjukkan perbandingan saiz manusia dengan saiz salah satu kaki Troll A.
Tanggal 17 Mei 1995 menyaksikan Troll A dilabuhkan ke dasar lautan sedalam 303 meter dengan tambahan 36 meter tapak yang dimasukkan ke dalam tanah beberapa hari kemudian. Troll A mula beroperasi sepenuhnya pada 1996 dan masih beroperasi setelah 28 tahun berlalu.
BACA: Inspirasi Kisah Benar Di Korea Selatan, Hijack 1971 Buat Penonton Cemas
Sumber: The Norwegian Petroleum Museum, Equinor (1) (2), Marine Insight