Teruja Bercampur Takut, Pekerja Atas Kapal Terpana Tengok Fenomena Belalai Air
Berada di lautan memberi pelbagai pengalaman berbeza memandangkan kebanyakan manusia hidup di daratan. Pelbagai kejadian yang menakutkan seperti laut bergelora, angin kencang, ribut petir dan belalai air boleh berlaku tanpa kita sedari.
Kejadian seperti ini pasti mendatangkan kerisauan buat mereka yang tidak pernah menghadapinya, lantas perkongsian video atau gambar tentang kejadian-kejadian ini sering mendapat perhatian orang ramai.
Mungkin ada yang bimbang, takut atau sekadar ingin tahu. Malah, ada juga yang teruja dapat melihat kejadian alam di tengah laut ini.
Begitulah yang boleh menggambarkan perasaan seorang pekerja kapal dipercayai dari Indonesia yang berkongsi video kejadian belalai air di laman TikTok miliknya, @aristapandora. Biarpun wujud perasaan takut, bibit keterujaan turut dirasanya apabila berpeluang melihat kejadian ini dari jarak yang begitu dekat.
BACA: Ramai Tak Tahu, Ini Kepentingan Teknologi Nuklear Dalam Menjamin Keselamatan Makanan
“Rasa takut dan gembira bersatu,” katanya. Kejadian tersebut turut menjadi perhatian ramai anak kapal.
Gabungan pusaran air yang tinggi dengan langit yang dilitupi awan gelap sememangnya membuatkan suasana kelihatan agak menakutkan. Mungkin disebabkan saiz kapal yang besar, ia kelihatan halus dari jauh. Tetapi saiz belalai air itu dapat dilihat dan dibandingkan dengan saiz kapal apabila kedua kapal dan pusaran semakin mendekati sesama sendiri.
Biarpun dari jauh, pusaran tersebut nampak padat, namun dari jarak yang dekat, ia kelihatan seperti titisan-titisan air hujan renyai dengan bahagian bawahnya nampak seperti mempunyai alas piring. Ombak kecil turut terhasil, bertembung dengan ombak yang dihasilkan dari pergerakan kapal.
@aristapandora Feelings of fear and happiness mixed into one expression 🌪️#pelautpunyacerita #pelautindonesia
Bagaimana belalai air boleh berlaku?
Menurut USA National Oceanic And Atmospheric Administration, belalai air sebenarnya salah satu bentuk puting beliung yang berlaku di atas permukaan laut. Berbeza dengan puting beliung yang terbentuk dari awan lalu memanjang ke darat, belalai air terbentuk dari permukaan laut naik ke awan.
Pusaran ini kemudiannya bersambung dengan awan Kumulus atau Kumulonimbus, menurut perkongsian Jabatan Meteorologi Malaysia.
Terdapat lima peringkat sebelum berlakunya belalai air. Bermula dengan kemunculan cakera bulat berwarna terang di permukaan air. Cakera ini dikelilingi oleh kawasan gelap yang lebih besar dan bentuk rawak. Kejadian ini digelar titik gelap.
BACA: Direalisasikan Dengan Kerjasama Jiran, Garden 8 Makin Berkembang
Setelah itu, jalur-jalur berwarna terang dan gelap mula membentuk lingkaran di atas permukaan air yang keluar dari titik gelap. Ketika ini, lingkaran semburan air laut yang padat dipanggil lata (cascade) muncul di sekeliling titik gelap. Kejadian ini menyamai mata taufan.

Dari situ, semburan air tadi mula meninggi, membentuk pusaran yang semakin naik ke awan. Ketika ini, udara panas mula menyejuk dan berlaku proses kondensasi wap air. Seterusnya membentuk corong awan. Ketinggian pusaran ini boleh melebihi beberapa ratus kaki dari permukaan laut.
BACA: Maybank Di Kota Kinabalu Jadi Tarikan, “Spot” Bergambar Untuk Pelancong
Kelajuan belalai air kebiasaannya tidak melebihi 150 kilometer per jam. Disebabkan saiznya yang kecil iaitu kurang dari 50 meter dan berlaku dalam tempoh singkat, kehadirannya sukar untuk diramal.
Biarpun tidak nampak seperti ia boleh mendatangkan bahaya, namun orang ramai yang berada di laut dinasihatkan untuk berhati-hati..
Sumber: Aristapandora, Jabatan Meteorologi Malaysia, National Oceanic And Atmospheric Administration USA