Direalisasikan Dengan Kerjasama Jiran, Garden 8 Makin Berkembang
Memulakan hari dengan siulan burung dengan menghirup udara yang segar tanpa bau busuk sampah pastinya membuat sesiapa saja tersenyum di pagi hari.
Ramai yang mengidamkan halaman rumah yang rimbun dengan pokok menghijau, bunga berwarna-warni serta hiasan yang menceriakan.
Kawasan perumahan yang lama, tidak semestinya kelihatan buruk dan usang di pandangan mata.
Malah, komuniti yang sudah lama menjadi jiran dan saling mengenali itulah yang menjadikan sesebuah taman perumahan itu lebih mudah diuruskan dan senang mencapai kata sepakat supaya penghuninya hidup aman damai, tiada yang bermasam muka.
Itulah yang dilakukan oleh beberapa orang jiran di kawasan perumahan Taman Perwira, Gombak yang sudah berusia lebih 50 tahun ini.
Kebun Komuniti Garden 8 merupakan sebuah kejiranan lestari lorong belakang pertama di Malaysia dan setakat 2024, Garden 8 makin berkembang membabitkan 48 kediaman dengan setiap lorong mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri.
Garden 8 bukan sekadar kebun biasa, ia sebenarnya merupakan usaha memastikan penduduk di kejiranan tersebut mempunyai gaya hidup yang lebih sihat tidak kira dari segi mental mahupun fizikal.
BACA: Maybank Di Kota Kinabalu Jadi Tarikan, “Spot” Bergambar Untuk Pelancong
Secara tidak langsung, kebun ini menjadi sebuah taman rekreasi yang selamat dan mempunyai pelbagai fungsi, antaranya laluan pejalan kaki, hiasan taman, sudut permainan tradisional dan juga taman sensori.
Yang paling mendapat perhatian, terdapat tiang yang mempunyai tanda arah bandar-bandar utama dunia.

Sejarah permulaan Garden 8
Di peringkat awal, dua buah rumah dahulu yang memulakan Kebun Taman J8 ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 akibat wabak CVODI-19 yang melanda negara.
Kemudian, pada September 2021, usaha tersebut mula berkembang apabila komuniti memilih untuk menghias lorong belakang dua buah rumah tersebut.

Bermula dari saat itulah, usaha itu menjadi inspirasi kepada nama Kebun Komuniti Garden 8, iaitu taman yang menggabungkan lorong belakang lapan buah rumah.
https://www.facebook.com/reel/1634044110502230
Garden 8 dapat direalisasikan dengan adanya persetujuan, kerjasama jiran
Minggu lalu, SK berkesempatan menemu bual Ketua Kebun Komuniti Garden 8, Iqmal Fajri Danial untuk mendengar sendiri bagaimana komuniti Taman Perwira dapat memulakan inisiatif ini.
Menurut Iqmal, kebun komuniti itu bukan hanya dimulakan dengan angan-angan kosong namun ia dapat direalisasikan kerana dengan adanya sikap bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Iqmal turut memberikan beberapa petua dan nasihat bagi komuniti lain yang ingin mengikut jejak langkah mereka.
BACA: Kasih Seorang Bapa, Kreatif Ubah Suai Basikal Demi Keselesaan Anak Ke Sekolah
“Mulakan dengan berbincang bersama jiran terdekat untuk buat kebun di belakang. Apabila mendapat persetujuan, cukup dengan dua atau empat rumah, bersihkan kawasan dahulu.
“Mula dengan membuat raised bed sekiranya kurang modal untuk membuat struktur pejalan kaki dan plot tanaman (hardscape). Boleh menanam di dalam pasu.
“Tip lain ialah membuat model skala kecil agar dapat dilihat dengan jelas bagaimana keadaan lorong belakang setelah dibuat transformasi,” katanya.

Iqmal turut menasihatkan agar mereka yang baru berjinak dengan penghiasan laman untuk merujuk panduan perkhidmatan awam terlebih dahulu.
“Perlu pastikan reka bentuk sesuai dengan keadaan, menurut undang-undang dan tidak menghalang kerja perkhidmatan awam seperti bomba dan Indah Water Konsortium (IWK),” tambahnya.
Aktiviti di Garden 8
Dalam usaha menjadikan lorong belakang rumah tersebut lebih mesra pejalan kaki dan juga mesra alam, pelbagai aktiviti boleh dilakukan selain bercucuk tanam dan mengitar semula sisa makanan.
Garden 8 menggunakan sisa kebun dan sisa dapur sebagai baja memandangkan komuniti tersebut mengamalkan sistem kompos, menurut Iqmal.
“Aktiviti kelestarian seperti menuai air hujan, mengitar semual minyak masak terpakai, mengitar semula barang terpakai untuk dijual, mengadakan Sunday Market dan aktiviti-aktiviti riadah,” ujar Iqmal ketika ditanya berkenaan aktiviti tambahan yang mereka lakukan.

Terima pelbagai anugerah
Untuk pengetahuan pembaca, Garden 8 bukan sahaja menerima pelbagai anugerah disebabkan kecantikan hiasan semata-mata.
Malah, mereka turut menerima anugerah Pertandingan Inovasi Combi MyChampion mewakili Selangor.
COMBI merupakan singkatan bagi Communication for Behavioural Impact atau Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku.
Pendekatan tersebut merupakan strategi mobilisasi sosial dan kemunikasi untuk mempengaruhi individu, keluarga dan komuniti ke arah perubahan tingkah laku yang sihat dalam usaha membanteras kes denggi di sana.
BACA: Menakjubkan, Fenomena Penghijaban Zuhal Dirakam Awal Pagi Tadi
Mereka turut mendapat tempat ketiga untuk Inovasi Transformasi Lorong Belakang yang juga mampu membanteras pembiakan nyamuk aedes.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan sumber inspirasi serta mengetahui lebih lanjut mengenai Garden 8, anda sebenarnya dialu-alukan untuk mengadakan lawatan ke sana.
Jelas Iqmal, tiada sebarang bayaran yang dikenakan kepada para pengunjung. Namun bagi mereka yang ingin menyumbang, terdapat tabung khas untuk pelawat menyalurkan sumbangan.

Usaha komuniti Garden 8 sememangnya wajar dicontohi kita. Ia tidak hanya mementingkan kecantikan halaman rumah, malah membantu sesebuah komuniti mempunyai persekitaran dan kejiranan yang sihat.
Sumber: Garden 8 via Facebook