Baru Beberapa Jam Naik Pangkat, Anggota APM Meninggal Dunia
Pasir Puteh – Seorang Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkan meninggal dunia tidak sampai 24 jam selepas dinaikkan pangkat, lapor Sinar Harian.
Allahyarham Napi Mat Jusoh, 54, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung setelah menjalani latihan bola sepak. Allahyarham yang juga merupakan seorang guru subjek Sejarah disahkan meninggal dunia di kawasan padang Sekolah Menengah Kebangsaan (Gaal) sekitar jam 7.30 malam.
Sebelum itu, Allahyarham menerima kenaikan pangkat dari Leftenan Muda (G 10) ke Leftenan (G 09) yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk (PA) Aminurrahim Mohamed. Pelantikan tersebut disempurnakan sempena Majlis Apresiasi Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan Serta Kecemerlangan APM Negeri Kelantan pada Isnin.
BACA: Dipercayai Meninggal 4 Tahun Lalu, Rangka Warga Emas Ditemui Dalam Rumah
Isteri Allahyarham, Nazleen Abdullah berkata dia tidak menyangka perkara tersebut berlaku berikutan suaminya seorang yang aktif bersukan, malah tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit serius.
Komited dengan tugas APM, turut aktif terlibat aktiviti murid
“Allahyarham juga aktif membimbing pelajar dalam sukan takraw, catur dan dilantik sebagai pengadil dalam beberapa sukan di SMK Gaal,” katanya.
Menurutnya lagi, Allahyarham berlatih bola sepak bersama rakan-rakan sebagai persediaan satu perlawanan yang bakal berlangsung.
BACA: Ralit Dengan “Phone”, Telatah Mak Ayah Tak Sedar Kehadiran Anak Buat Ramai Terhibur
Nazleen turut menceritakan detik sebelum pemakaian kenaikan pangkat dan penyampaian sijil suaminya itu.
“Dia sangat teruja untuk menerima sijil dan kira-kira jam 7.39 pagi, dia melakukan latihan dengan memberi beberapa arahan kepada Muhammad Firdaus (anak kedua),” ujarnya.
Tambah Nazleen, dia bersyukur apabila rakan-rakan Allahyarham menyampaikan kepadanya bahawa Allahyarham seorang yang memberi komitmen dalam tugas.
BACA: Warga Emas Mangsa Insiden Perlanggaran Dua Perahu Ditemukan Lemas
“Alhamdulillah, ramai gembira dan berpuas hati dengan tanggungjawab yang dilakukan,” tambahnya.
Dalam pada itu, anak sulung Allahyarham, Muhammad Farhan yang berada di Ipoh segera pulang apabila menerima berita duka tersebut.
“Saya ada menghubunginya melalui panggilan video pada Sabtu lepas dan Allahyarham bersembang seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.
“Papa ceria sahaja dan seperti biasa sejak kami kecil dia akan memberi pesanan supaya tidak tinggal solat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian