Pengguna iOS 18 Dah Boleh “Pause” Video Ketika Rakam
Apple memperkenalkan beberapa ciri kamera baharu termasuk ciri jeda (pause) video seketika dalam iOS 18, sewaktu pelancaran iPhone 16 baru-baru ini.
Menurut portal 9to5Mac, ciri baharu ini membolehkan pengguna iOS 18 menghentikan seketika video yang dirakam dan menyambung semula video dalam aplikasi kamera.
Penambahan ini memberikan manfaat kepada pengguna iPhone 16 kerana tidak perlu menggunakan aplikasi lain untuk membuat suntingan.

Sewaktu menggunakan aplikasi kamera (iOS 18), pengguna dapat melihat butang jeda (pause) di penjuru kiri sebelah bawah.
Pengguna hanya perlu menekan butang itu bagi menghentikan sementara video dan menekan kembali untuk menyambung semula rakaman.
Ciri ini tersedia kepada semua jenis iPhone 16 yang baru sahaja dikeluarkan dan iPhone lama yang masih menyokong iOS terbaharu, iaitu iOS 18.
Untuk iPhone 16, ia hadir dengan butang action atau dinamakan Camera Control yang berfungsi untuk mengakses kamera secara terus.
Butang ini terletak di bawah butang Power dengan tindak balas haptik.
Antara ciri yang tersedia dengan butang ini adalah pengguna boleh membuat kawalan zum, apertur dan menangkap gambar sería lain-lain.
iPhone 16 Lebih Murah Berbanding iPhone 15
Menariknya pelancaran iPhone kali ini, siri iPhone 16 menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding harga jualan siri iPhone 15 sewaktu pelancarannya, petik Wiser.my.
Difahamkan, harga iPhone 16 kekal sama seperti iPhone 15, yang bermula pada harga $799 untuk versi standard dan $999 bagi versi Pro.

Macam mana boleh lebih murah?
Harga tersebut menjadi lebih murah kemungkinan disebabkan kejatuhan dolar AS yang mempengaruhi harga jualan bagi siri iPhone 16 di dalam pasaran termasuk Malaysia.
Perbandingan harga iPhone 15 dan iPhone 16 sewaktu pelancaran
Pada tahun lepas, iPhone 15 bermula dengan tanda harga RM4,399 manakala iPhone 16 kini bermula dengan harga RM3,999, pengurangan sebanyak RM400 dari siri sebelum ini.
Bagi siri iPhone 15 Pro pula bernilai RM5,499 ketika pelancaran tahun lalu dan siri iPhone 16 Pro sebanyak RM4,999.
Bagaimanapun, harga iPhone 15 dan iPhone 15 Plus kini bernilai RM3,499 dan RM3,999 selepas pelancaran model baharu Apple itu.