Rangka Manusia Termasuk Tengkorak Ditemui Dalam Loji Kumbahan
Satu rangka manusia termasuk tengkorak telah dijumpai dalam loji kumbahan di Taman Seri Penawar, Bandar Penawar, lapor Sinar Harian
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya ada menerima satu laporan berhubung penemuan objek menyerupai tulang manusia.
Difahamkan, penemuan itu dilakukan oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian, pada Ahad.
Jelas beliau, polis daerah Kota Tinggi bersama Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor segera ke lokasi selepas menerima laporan itu.
Polis menjumpai kain pelekat yang tersangkut
“Hasil pemeriksaan menjumpai kain pelekat tersangkut pada mesin kisar tapis sampah.
“Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar membantu mengeluarkan rangka serta tulang yang ditemui tersangkut di tengah-tengah mesin kisar tapis sampah itu.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian, pihak polis berjaya menjumpai satu tengkorak, tujuh ketul tulang panjang, sepasang tulang pinggul dan segumpal rambut,” ujarnya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut boleh hubungi pihak berkuasa
Dalam pada itu, Yusof berkata, spesimen tulang tersebut kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Asnalisz Zainal melalui talian 016-444 6871 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi (07-883 7222),” tambahnya lagi.
BACA: Ini 5 Laman Web Paling Kerap Rakyat Malaysia Layari Sepanjang Ogos
Sumber.: Sinar Harian