Sheriff 2 Bakal Mula Penggambaran Tahun Depan
Dengan mendapat jumlah kutipan kira-kira RM60 juta kurang daripada sebulan tayangan, Skop Productions dan Astro Shaw kini dalam perancangan menghasilkan filem kedua bagi Sheriff: Narko Integriti, lapor Astro Gempak.
Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam mengumumkan rancangan syarikat tersebut untuk memulakan penggambaran filem sekuel Sheriff selepas Aidilfitri tahun hadapan.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau ditemui pihak media di Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sheriff Narko Integriti hari ini.
“Kalau ikut perancangan, kita akan memulakan rakaman selepas raya tahun hadapan.
BACA: Pelakon Veteran, Kamal Bakar meninggal Dunia
“Syafiq juga sedang sibuk untuk beberapa filem tahun ini. Jadi selepas selesai semuanya, Syafiq akan memulakan perbincangan serta penulisan skrip.
“Saya juga akan turun untuk melihat konsep yang nak kita buat dan perlu dirujuk kepada Bukit Aman, perlu melalui proses yang sama seperti filem Sheriff yang pertama,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa idea untuk membawa filem tersebut telah ada namun belum diputuskan lagi.
BACA: Bakal Ditayangkan, “Teaser” Filem Minecraft Dapat Pelbagai Reaksi
Ketika ditanya mengenai kerjasama syarikatnya dengan Astro Shaw, pengarah terkenal itu menganggap rakan kongsi sememangnya diperlukan dalam perjuangan menghasilkan filem.
“Ramai yang bertanya kenapa saya sering mengadakan kerjasama dengan Astro Shaw sedangkan saya sudah mempunyai nama yang kuat. Tetapi sebenarnya saya tak pernah menganggap saya kuat, saya cuma berjuang. Kadang-kadang kita perlukan rakan kongsi,” ujarnya.
Bagi Yusof, kerjasama sesama syarikat produksi juga dianggap sebagai satu perkongsian positif.
“Untuk mengekalkan momentum kita, jangan jadi manusia tamak. Saya sudah pernah buat sendiri (filem) dan (pernah) jalinkan kerjasama dengan beberapa produksi luar. Dengan perkongsian itulah yang membuahkan hasil,” tambahnya lagi.
BACA: KRU Studios Umum Bakal Terbit “Duyung: Legenda Aurora”, Sekuel Filem “Duyung”
Terdahulu, filem aksi Sheriff: Narko Integriti yang menampilkan barisan pelakon muda dan ternama seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Elizabeth Tan dan ramai lagi mendapat pujian penonton apabila pengarah dan penulis skrip menampilkan sisi baru dalam dunia perfileman berkonsepkan kepolisan dan penyiasatan tempatan.
Setakat ini, belum ada kata putus berkenaan pemilihan para pelakon bagi filem sekuel tersebut.
Sumber: Astro Gempak