Bos Baik Hati, Hadiahkan Semua Staf, “Intern” Iphone 16 Pro & Jam Apple
Dunia baru-baru ini menjadi saksi kepada pelancaran barisan model terbaru telefon pintar premium, Iphone 16 oleh syarikat gergasi pengeluar peranti terkemuka, Apple.
Sebaik sahaja pelancaran itu dibuat, ramai yang mula membuat perkiraan untuk bertukar kepada model terkini itu supaya dapat merasai naik taraf terbaru yang ditawarkan.
Pada masa yang sama, ada juga yang perlu menarik brek sebentar untuk membelanjakan sejumlah wang apabila mengenangkan harga peranti premium tersebut.
Namun, situasi berbeza pula dilalui oleh kakitangan sebuah syarikat di China, Mediastrom yang boleh dianggap sebagai cukup bertuah.
Bos hadiahkan staf, intern Iphone 16 Pro & jam Apple
Ia selepas pengasasnya yang dikenali sebagai Tim, mengambil keputusan untuk menghadiahkan Iphone 16 Pro dan jam pintar Apple kepada semua staf termasuk pelajar latihan industri di syarikatnya.
Berita gembira berkenaan diterima oleh semua kakitangan Mediastorm menerusi satu mesej dalaman yang dihantar oleh Tim.
Menerusi mesej berkenaan, Tim memaklumkan semua kakitangan dan pelajar latihan industri layak menerima hadiah tersebut selagi mana mereka berada di pejabat semasa pengumuman itu dibuat.
Syarikat juga akan menanggung semua bayaran cukai yang perlu dijelaskan menerusi pemberian hadiah berkenaan.
Berita berkenaan kemudian menjadi tular di media sosial dan sudah tentu menjadi bualan warga maya di sana.
Pernah hadiahkan Iphone 14 Pro & 15 Pro sebelum ini
Rata-rata berpendapat kakitangan itu cukup bertuah dan berharap mereka membalas kebaikkan itu dengan meningkatkan prestasi kerja masing-masing.
Menurut Must Share News, data terkini menunjukkan Mediastrom mempunyai kira-kira 100 orang kakitangan tetap.
Manakala ini bukanlah kali pertama syarikat tersebut menghadiahkan kakitangannya produk Apple.
Pada 2022 dan 2023, Tim pernah menghadiahkan semua stafnya telefon pintar Apple model Iphone 14 Pro dan Iphone 15 Pro.
BACA: Ringgit Lepasi Paras 4.30, Cecah Paras Tertinggi Dalam Tempoh 20 Bulan Berbanding Dolar
Sumber: Must Share News