Pegawai Awam Pilih SSPA Dapat Pelarasan Gaji & Pencen Kekal – JPA
Putrajaya, 14 September 2024 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pencen bagi Pegawai Awam berstatus tetap dan berpencen yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kekal dan tidak terjejas. Mereka juga layak menerima pelarasan gaji.
Menerusi satu kenyataan, JPA mengumumkan pegawai berstatus kontrak (Contract of Service) turut layak menerima pelarasan gaji di bawah SSPA. Keputusan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan kepuasan kerja semua Pegawai Awam tanpa mengira status perjawatan.
“Kepada Pegawai Awam berstatus tetap dan berpencen tetapi tidak memilih SSPA dan berhasrat untuk kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) pula, pencen anda juga kekal dan tidak terjejas. Berkhidmatlah seperti biasa. Namun, anda tidak akan menikmati pelarasan gaji seperti di bawah SSPA,” katanya.
BACA: KPM Sedia Beri Peluang Kepada 402 Kanak-Kanak Mangsa Eksploitasi Peroleh Pendidikan
Sesi penjelasan pelarasan gaji serta pencen yang kekal dan tidak terjejas
Menurutnya lagi, pihak JPA bakal mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) untuk memberikan penjelasan lebih mendalam mengenai pemilihan SSPA.
“Sesi pertama tersebut dijadualkan berlangsung pada hari Selasa bersamaan 17 September 2024. Ia diikuti dengan siri jelajah yang meliputi setiap Kementerian dan Jabatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, pihak JPA turut menjemput semua Pegawai Awam termasuk yang berstatus kontrak menghadiri sesi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjelaskan sebarang pertanyaan. Sesi penerangan ini turut akan diadakan secara dalam talian.
Untuk lebih pencerahan mengenai perkara ini, JPA juga akan mengadakan siaran langsung di Facebook mereka selama satu jam pada 19 September bermula 10 pagi.
BACA: Naik 15%, Ini Simulasi Kenaikkan Gaji Yang Bakal Dinikmati Penjawat Awam
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan skim kenaikan gaji Pegawai Awam tertinggi dalam sejarah.
Bagi Pegawai Awam dalam kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan dan profesional, mereka bakal menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus. Manakala bagi kumpulan pengurusan tertinggi pula, mereka akan menikmati kenaikan sebanyak tujuh peratus.
Menurut beliau, kenaikan gaji ini bakal dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 pada 1 Disember 2024 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.
Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam