Tip: Ini 5 Benda Yang Tidak Patut Anda Tinggalkan Dalam Kereta
Kereta adalah salah satu aset penting dalam kehidupan seharian kita.
Sama ada kita pergi kerja, menghantar anak ke sekolah atau sekadar berjalan-jalan, kereta sentiasa menemani kita.
Namun, pernahkah anda terfikir bahawa ada beberapa benda yang sebenarnya tidak selamat untuk ditinggalkan di dalam kereta, terutamanya apabila kereta diparkir di tempat yang panas?
Selain merosakkan barang-barang tersebut, ia juga boleh membawa bahaya yang serius, malah boleh menyebabkan ‘kemalangan’ yang tidak diingini.
Mungkin nampak remeh, tetapi percayalah, tindakan ini boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda anda.
Jadi, sebelum anda keluar dari kereta, pastikan anda memeriksa lima benda ini dan elakkan meninggalkannya dalam kereta, seperti yang dikongsikan oleh Brian menerusi TikTok @carsomemy.
Pemetik Api (Lighter)
Jika kabin kereta terlalu panas, pemetik api boleh menjadi ‘bom kecil’.
Gas yang terkandung di dalam pemetik api boleh mengembang dan menyebabkan letupan.
Letupan ini bukan sahaja merosakkan kereta anda, malah boleh mencederakan sesiapa yang berhampiran.
Powerbank
Powerbank sememangnya sangat berguna apabila telefon kita kehabisan bateri.
Namun, tahukah anda bahawa ia juga boleh menjadi bahaya jika ditinggalkan dalam kereta yang panas?
Bateri yang terdapat dalam powerbank berisiko untuk meletup apabila terdedah kepada suhu yang tinggi.
Ini bukan sahaja akan merosakkan powerbank, malah ia boleh menyebabkan kebakaran di dalam kereta.
Ubat-Ubatan
Walaupun ubat tidak akan menyebabkan kebakaran, ia tetap berbahaya jika ditinggalkan dalam kereta yang panas.
Suhu yang tinggi boleh mengubah komposisi kimia ubat-ubatan, menjadikannya tidak lagi berkesan atau lebih teruk, menjadi toksik kepada badan anda.
Bukan itu sahaja, botol plastik yang menyimpan ubat juga boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya apabila terdedah kepada panas yang melampau.
Botol Plastik
Kebanyakan kita mungkin selalu meninggalkan botol air plastik di dalam kereta tanpa memikirkan risikonya.
Tahukah anda bahawa plastik boleh melepaskan bahan kimia berbahaya apabila terdedah kepada suhu yang tinggi?
Ini boleh menjejaskan kesihatan jika air dalam botol diminum.
Jadi, elakkan meninggalkan botol air plastik dalam kereta, terutama sekali di bawah panas terik matahari.
Air Berkarbonat
Jika botol atau tin air berkarbonat terdedah kepada panas, gas di dalamnya akan mengembang dan akhirnya meletup.
Bukan sahaja kereta anda akan dipenuhi dengan cecair melekit, tetapi ia juga boleh meninggalkan bau yang tidak menyenangkan dan sukar dibersihkan.
Langkah keselamatan ini mungkin nampak ‘kecil’, tetapi ia boleh memberikan impak yang besar kepada keselamatan anda dan kereta anda.
Jangan ambil mudah dengan meninggalkan benda-benda ini di dalam kereta, terutama apabila suhu cuaca semakin panas.
Sentiasa periksa kereta anda sebelum keluar dan pastikan tiada barang yang boleh mengundang bahaya dibiarkan di dalam kabin.
Ingat, lebih baik mencegah daripada menyesal. Semoga bermanfaat.
@carsomemy Sebelum keluar kereta, pastikan 5 benda yang bahaya ini tidak ditinggalkan. Nak tahu apa 5 benda tu? Jom layan video kami! #CARSOMEMY #FYP #CarTips
BACA: Datuk Yusof Haslam Luah Rasa Syukur Syamsul Kembali Ke Sisi Keluarga
BACA: Tak Pasal-pasal Jadi Duta, Pemuda Minta Sunting Gambar Suasana Merdeka Buat Ramai Terhibur
BACA: MetMalaysia Keluar Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Pagi Ini
Sumber: @carsomemy via TikTok