Datuk Yusof Haslam Luah Rasa Syukur Syamsul Kembali Ke Sisi Keluarga
Pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa gembira apabila anak sulungnya, Syamsul Yusof terbuka hati untuk pulang ke sisi keluarga pada beberapa hari yang lalu, lapor Gempak.
Yusof atau nama sebenarnya Md Yusof Md Haslam berkata beliau mahukan kedamaian dalam kehidupan selain bersyukur dengan kepulangan anaknya itu.
“Alhamdulillah, Syamsul balik malam tu dan dia peluk mak dia, peluk saya, masing-masing bertentang mata.
“Saya nak kedamaian dalam kehidupan. Dan alhamdulillah dah dua hari berturut-turut dia datang untuk rasa masakan mak dia.
“Pada saya ia satu perkembangan yang baik. Saya nak hubungan saya dengan Syamsul baik, begitu juga hubungan saya dengan bekas menantu saya, Sarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan pada program realiti Kilauan Emas 2024 yang berlangsung di Royal Theater, Shah Alam pada semalam.
Mengulas lebih lanjut, Yusof berkata beliau tidak mencampuri urusan penceraian anaknya itu malah sentiasa menghormati sentiasa pilihan yang dibuat Syamsul.
“Tentang hal rumah tangga dia (Syamsul) saya tak campur. Sebab dia berkahwin tanpa pengetahuan kami dan perpisahan mereka pun tidak kami ketahui.
“Kami tak pernah rancang, dan saya tak pernah menyuruh anak saya untuk bercerai. Saya pun tak gembira, tapi itu pilihan dia, dan jikalau itu pilihannya, kita terpaksa reda,” ujarnya.
Sebelum ini, isterinya, Datin Patimah Ismail memuat naik gambar di Instagram memaparkan Syamsul yang juga pelakon itu telah kembali ke pangkuan keluarga.
Turut kelihatan dalam gambar lain itu adalah bekas isteri Syamsul, iaitu Puteri Sarah Liyana dan anak perempuan mereka.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan Syamsul dan isterinya, Ira Kazar bercerai talak satu.
Ia selepas wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafazkan oleh pengarah filem Mat Kilau itu ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Sumber: Gempak