Tular Tunggang Basikal Lajak Secara Bahaya, Polis Kesan Kumpulan Remaja
Sekumpulan remaja didakwa menunggang basikal dengan cara yang berbahaya sehingga salah seorang daripada mereka hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya di jambatan Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, memaklumkan bahawa pihak polis telah menerima maklumat awam berkenaan sebuah video berdurasi 20 saat yang menunjukkan insiden tersebut, pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan awal berdasarkan rakaman tersebut mendapati kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 petang.
“Video itu memaparkan lebih kurang lapan orang remaja yang menunggang basikal dipercayai jenis basikal lajak berlumba sesama sendiri semasa menuruni jambatan terbabit tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.
“Sehingga setakat ini, pihak polis tiada menerima sebarang aduan daripada mana mana pihak berkenaan kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
BACA: Terseret Bawah Treler, Peserta RXZ Members 6.0 Dilapor Maut
Tambah Siti Nor Salawati, kes ini disiasat di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika disabit kesalahan, pelaku boleh didenda sebanyak RM300 atau jika sabitan itu sabitan kali kedua atau kemudiannya, denda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Polis Kota Setar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja yang terlibat untuk tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ifzam Mohd Zaini, di talian 012-4043373 atau Balai Polis Trafik Kota Setar di nombor 04-7321222.
Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau aktiviti anak-anak mereka, terutamanya semasa cuti sekolah.
Hal ini penting untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
BACA: 60 Orang Awam Terkandas Di Kolam Puteri
BACA: Gempa Bumi 5.7 Pada Skala Richter Landa Barat Indonesia
Sumber: Sinar Harian