Insiden Alat Kelui Meletup Di Lubnan, 12 Maut & 2,800 Lagi Cedera
Angka korban akibat insiden letupan alat kelui di Lubnan dilapor meningkat kepada 12 orang, termasuk dua orang kanak-kanak.
Data terkini itu didedahkan oleh Menteri Kesihatan pada Rabu, sehari selepas insiden berkenaan berlaku yang didakwa didalangi oleh Israel.
Firass Abiad berkata, data terbaru menunjukkan angka korban meningkat kepada 12 orang berbanding sembilan sebelum ini.
Mangsa yang terkorban termasuklah dua orang kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan serta empat petugas kesihatan dari hospital swasta di selatan negara itu.
Alat kelui meletup hampir serentak di Lubnan, 12 maut & 2,800 lagi cedera
Manakala seramai 2,750 hingga 2,800 orang lagi cedera dalam insiden berkenaan.
Menurut AFP, ratusan alat komunikasi itu dilapor meletup hampir serentak di seluruh Lubnan pada Selasa, beberapa jam selepas Israel memaklumkan pihaknya akan meningkatkan matlamat di Gaza termasuk operasi menentang Hizbullah.
Bagaimanapun, setakat ini Israel masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang insiden letupan alat kelui di Lubnan itu.
Insiden letupan berkenaan dikatakan berlaku di kawasan yang dikuasai Hizbullah di selatan Beirut dan di timur dan selatan Lubnan.
Ada mangsa dipindahkan ke Syria dan Iran
Manakala beberapa mangsa insiden letupan yang berlaku di Lembah Bekaa di selatan Lubnan turut dipindahkan ke Syria dan Iran untuk menerima rawatan.
Menurut Firass Abiad , kira-kira 750 mangsa yang cedera datang dari selatan Lubnan, kira-kira 150 dari Lembah Bekaa, manakala baki kira-kira 1,850 lagi dari Beirut dan kawasan pinggir bandar di selatan.
BACA: Dua Pelancong China Maut, Kereta Ditimpa Pokok Tumbang & Konkrit Di Pulau Pinang
BACA: KPM Sedia Beri Peluang Kepada 402 Kanak-Kanak Mangsa Eksploitasi Peroleh Pendidikan
Sumber: AFP