Maybank Cycling Series Johor Berjaya Tarik Lebih Lebih 2,500 Pelumba Basikal
Johor, Malaysia – 14 September 2024: Jalan-jalan di sekitar bandaraya Iskandar Puteri bertukar riuh dan meriah apabila penggiat sukan berbasikal dari seluruh rantau berkumpul untuk menyertai Maybank Cycling Series Johor yang diadakan buat julung kalinya.
Acara itu berjaya menarik lebih 5,000 hadirin termasuk ahli keluarga para peserta dan rakan-rakan bagi meraikan warisan, kelestarian dan semangat kemasyarakatan.
Dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan KPRJ Sports Sdn Bhd (KSSB), Maybank Cycling Series Johor yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif sambil memperjuangkan amalan mementingkan alam sekitar serta menyokong inisiatif untuk memelihara warisan semula jadi dan budaya Johor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Khairussaleh Ramli, berkata, “Maybank Cycling Series Johor merangkumi kepercayaan teras kami bahawa masyarakat adalah nadi kepada segala yang kami lakukan. Dengan menghimpunkan peminat berbasikal, kami bukan sahaja memupuk amalan gaya hidup sihat, bahkan membina komuniti yang lebih kukuh dan berhubung.
Acara ini mencerminkan misi kami untuk Memanusiakan Perkhidmatan Kewangan, dengan penekanan diberikan kepada inisiatif mencipta pengalaman inklusif serta mampan yang berasaskan nilai sejagat. Justeru, kesemua 5,000 orang yang terlibat, termasuklah ahli keluarga peserta, dapat sama-sama menikmati suatu perjalanan yang inklusif dan mampan.
Siri ini turut menyerlahkan bagaimana institusi kewangan boleh memacu perubahan positif. Kami berharap untuk meluaskan impak kami ke seluruh Asia Tenggara, seperti yang dipamerkan melalui Siri Berbasikal Maybank il Festino 2024 di Indonesia baru-baru ini.”
Lebih 2,500 pelumba basikal mewakili 35 buah negara telah memulakan kayuhan mereka dari Sunway Big Box Retail Park Iskandar Puteri, dan berkesempatan untuk melalui banyak mercu tanda ikonik Iskandar Puteri yang serba indah merangkumi resort-resort terkemuka, Legoland dan EnerG X Park, Leisure Farm Resort, Kukup Golf Resort, laluan pantai The Museum Bugis dan banyak lagi.
Siri ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Perlumbaan Lebuh Raya 120km yang kompetitif dan Fellowship Ride 60km yang bersifat santai.
Destinasi-destinasi ini bukan sahaja mempamerkan kekayaan warisan budaya Johor tetapi juga menekankan komitmen mereka terhadap kemampanan, sekali gus menawarkan pengalaman langsung tentang cara mercu tanda ini menyumbang kepada penerokaan bersifat mesra alam kepada para peserta.
Pelumbaan yang sengit hari ini menyaksikan Mohamad Saari Amri Abd Rasim dan Khairunnisa Aleeya Saifulnizam masing-masing dinobatkan juara keseluruhan bagi saingan 120km lelaki dan wanita. Lebih menarik, kedua-dua mereka merupakan anak jati Johor.
Dominasi Saari cukup terserlah apabila dia memenangi perlumbaan secara solo dengan catatan memberangsangkan 2:47:37. Pelumba berusia 26 tahun itu mengatasi pencabar terdekatnya, Tong Khoon Fung (2:47:54) dengan kelebihan 17 saat, manakala Muhammad Faheem Razen M Zaini (2:47:57) muncul ketiga terpantas.
Kejayaan ini tiba tepat pada masanya buat Saari kerana dia berhasrat untuk merebut tempat dalam skuad Malaysia Pro Cycling ke perlumbaan Le Tour De Langkawi pada hujung bulan ini.
“Setiba 20km terakhir, saya memanfaatkan peluang untuk melakukan ‘break away’ dari kumpulan besar dan seterusnya berjaya mengungguli perlumbaan secara solo. Ia memang cukup bermakna kerana kejayaan saya sebelum ini adalah menerusi pecutan berkelompok,” jelas Saari, yang turut mengungguli kategori Lelaki Master A selain turut memimpin Malaysia Pro Cycling Team untuk menjuarai acara berpasukan.
“Maybank Cycling Series Johor sebenarnya agak mencabar kerana ramai pencabar hebat juga mengambil bahagian. Ada segelintir mereka yang merupakan bekas pelumba pasukan Pro Tour dan ada juga mereka yang bekas wakil kebangsaan.”
Tambahnya, “Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur dan para penaja kerana bertungukus lumus untuk menjayakan acara ini. Sudah lama negeri ini tidak menganjurkan perlumbaan basikal seperti ini, terutamanya selepas COVID-19. Kejohanan seperti ini amat diperlukan kerana di sinilah bakat baharu akan dapat dicungkil untuk diketengahkan.”
Khairunnisa meneruskan rentak kecemerlangannya daripada Sukma di Sarawak dengan menambah gelaran kedua kepada pingat emas yang diraihnya di Kuching baru-baru ini. Pelumba berusia 20 tahun itu merampas jersi kuning dengan penuh bergaya apabila tiba di garis penamat dengan masa 2:49:48, jauh mengatasi pelumba pilihan Phi Kun Pan, yang merupakan juara Bawah-23 tahun Lebuh Raya Asia.
Kun Pan muncul naib juara dengan catatan 2:59:33, diikuti Nurina Qistina Zahraa Dewa Indra di tempat ketiga (3:04:40).
“Kejayaan hari ini agak di luar jangkaan. Saya langsung tidak menetapkan sebarang sasaran kerana baru sahaja kembali berlatih minggu lalu setelah tamat aksi Sukma,” kata Khairunnisa, yang juga merangkul gelaran Bawah-23 wanita. “Untuk berjaya muncul juara di negeri kelahiran pasti menjadikan kemenangan hari ini lebih istimewa. Saya amat menikmati pelumbaan hari ini, ia agak mencabar. Kelajuan yang ditunjukkan para peserta lain hampir setara seperti pelumbaan profesional.”
Pengarah MSNJ, Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak berkata, “Objektif utama kami adalah untuk memberi inspirasi kepada gaya hidup lebih sihat dalam kalangan masyarakat dengan menggalakkan penyertaan aktif melalui kayuhan basikal. Kami sangat percaya bahawa acara seperti ini mampu memainkan peranan penting dalam membina komuniti yang lebih kuat dan terlibat.”
“Tambahan pula, Maybank Cycling Series Johor menandakan satu langkah penting ke arah menjadikan Johor sebagai satu destinasi berbasikal. Dengan menganjurkan siri berbasikal sendiri, kami menunjukkan komitmen negeri untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan komuniti berbasikal. Kami yakin acara ini telah menyumbang dalam menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang mesra berbasikal dan berharap keseluruhan program ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menjadikan berbasikal sebagai satu cara berekreasi.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Dato’ Lukman Abu Bakar berkata, “Acara hari ini menyerlahkan komitmen Johor kepada mewujudkan komuniti yang lebih sihat dan lebih terhubung di samping menandakan kepelbagaian perniagaan strategik KPRJ. Maybank Cycling Series Johor bukan sekadar acara sukan tetapi ia mencerminkan komitmen dan peranan kami sebagai pemangkin perubahan dalam landskap sukan di Johor.
Dengan mempromosi dan menyokong agenda Kerajaan Negeri, kami meletakkan Johor sebagai destinasi utama untuk peminat berbasikal dan mengukuhkan lagi kehadiran kami dalam industri sukan. Acara ini merupakan langkah penting ke arah menjadikan siri ini sebagai tradisi tahunan, menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan Johor.”
Di ketika para peserta menikmati kayuhan mereka di jalan-jalan di Iskandar Puteri, Maybank Cycling Series Johor juga menganjurkan perkampungan festival yang padat dengan atur cara buat hadirin dari semua peringkat umur. Keghairahan jelas dapat dirasai di pekarangan Sunway Big Box di mana aksi basikal BMW Downhill (Menurun Bukit) dan perlumbaan basikal tolak untuk kanak-kanak juga rancak berlangsung.
Para hadirin juga terhibur dengan pelbagai persembahan atas pentas termasuk dendangan lagu dari kumpulan muzik Hard Rock dan tarian kebudayaan oleh Yayasan Warisan Johor.
Festival itu juga memberi tumpuan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang menggabungkan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Lebih 250 pokok bakau telah ditanam di Taman Negara Johor Tanjung Piai, di Pontian, dengan ikrar untuk menanam satu pokok bagi setiap sepuluh peserta.
Para peserta dan ahli keluarga mereka pasti meninggalkan acara hari ini dengan penuh kepuasan selepas menjadi sebahagian daripada catatan perjalanan yang cukup bermakna. Dan sudah pasti, ramai yang menantikan pengembaraan seterusnya.
Maybank Cycling Series Johor juga diserikan dengan kehadiran beberapa atlet kelahiran Johor iaitu pelumba basikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom, pemain golf Kelly Tan dan bekas pemain bola jaring negara Nur Fariha Abdul Razak.
Anak jati Muar Shah Firdaus baru-baru ini beraksi di pentas final Olimpik Paris, manakalah Kelly, yang berasal dari Batu Pahat, pernah mewakili Malaysia di dua temasya Olimpik iaitu Rio 2016 dan Tokyo 2020. Fariha pula pernah membantu Malaysia muncul juara dua kali di Sukan SEA.
Maybank Cycling Series Johor yang julung diadakan kali ini dapat dilangsungkan dengan jayanya atas sumbangan dan sokongan padu daripada barisan penaja dan rakan kongsi seperti Iskandar Investment Berhad, PIJ Holdings, Johor Corporation, KPJ Healthcare, Global Synergy Sports, Grupetto, Super, Hard Rock Café Puteri Harbour, Trinidad Suites Johor, Trademark Suites by Wyndham, Ramada Suites by Wyndham The Straits Johor Bahru, Sunway City Iskandar Puteri, Meru Utama, Propain, Pro Apparel, Garmin dan yang lain-lain.