MFL Benarkan Empat Pasukan Liga Super Ini Daftarkan 12 Pemain Import
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan Pindaan Manual Liga Malaysia 2024/2025 yang kini membenarkan pendaftaran 12 pemain asing untuk empat pasukan terpilih.
Pindaan berkenaan diluluskan selepas mendapat persetujuan bersama majoriti Rakan Kongsi Liga dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL.
Menurut MFL, pindaan itu hanya terpakai untuk empat buah kelab Liga Super yang bertanding dalam saingan di peringkat Asia pada musim 2024/2025.
Empat pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC.
Empat kelab Liga Super boleh daftar 12 pemain import
“Tiada perubahan bagi kelab-kelab yang tidak terlibat dalam Kejohanan Peringkat Kelab Anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF),” kata MFL.
Oleh itu, kelab-kelab yang tidak bertanding di peringkat Asia hanya dibenarkan mendaftar 9 pemain asing sahaja seperti peraturan sedia ada.
MFL dalam pada itu turut menegaskan bahawa kuota tambahan itu tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan dalam empat kelab berkenaan untuk beraksi.
Hal ini kerana, dua pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja. Manakala pendaftaran pemain asing dalam Senarai Pasukan dalam Liga Malaysia 2024/2025 dikekalkan.
Difahamkan, cadangan berkenaan kuota tambahan tersebut dikemukakan oleh JDT mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024/2025 dan mendapat persetujuan bersama pemegang taruh MFL.
“Dengan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain membabitkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain asing.
“Penambahan kuota pemain asing ini memberi peluang kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang layak ke pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFF Club Championship 2024-2025 bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif,” kata MFL.
Terdahulu, AFC telah memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan yang dianjurkan oleh badan induk bola sepak Asia itu.
Peraturan pendaftaran Senarai Pasukan dalam Liga Malaysia masih kekal
Menurut MFL, peraturan pendaftaran pemain asing di dalam Senarai Pasukan bagi perlawanan di pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2024-2025 masih kekal iaitu 7 (6+1).
“Manakala bagi proses naik dan turun pemain Piala MFL 2024-2025, peraturan pendaftaran 5 pemain tempatan (melebihi 23 tahun) dan maksimum tiga pemain asing dalam Team List (maksimum 2 pemain dibenarkan beraksi di atas padang) masih kekal.
“Keputusan untuk mengekalkan kuota ini adalah bagi memastikan peluang pemain tempatan bawah 23 tahun beraksi dalam saingan Piala MFL.”
BACA: Pelumba Handalan, Azlan Shah Kamaruzaman Umum Bersara
Sumber: MFL