Siakap Keli
sukan pelik jerman
Kredit: Sky News via TikTok

Sukan ‘Pelik’ Ini Dapat Sambutan Di Jerman, Berjaya Curi Perhatian Warga Maya

Sukan ‘Pelik’ Ini Dapat Sambutan Di Jerman, Berjaya Curi Perhatian Warga Maya

Frankfurt, Jerman, mencuri tumpuan apabila mengadakan “Kejohanan Hobby Horsing”, satu acara yang mengundang pelbagai reaksi dari warga maya.

Sukan ini dianggap ‘pelik’ kerana peserta dilihat melakukan aktiviti lompat pagar berkuda, tetapi tanpa kuda sebenar.

Sebaliknya, mereka menggunakan kuda kayu sebagai alat utama pertandingan, menggantikan kuda hidup.

Dalam video yang tular, ratusan peserta muda bersaing dalam pelbagai kategori bagi kejohanan ini.

Ini termasuklah dalam kategori ‘lompatan masa’, ‘lompatan gaya’ dan ‘dressage’.

@skynews

Watch riders competing in jumping and dressage on wooden stick horses. The competition is part of a growing wave of hobby horsing events around the world, with the United States and Australia also holding their first championships this year. #hobbyhorsejumping #sports

♬ original sound – Sky News – Sky News

Difahamkan, acara ini diadakan buat pertama kalinya di Jerman pada Sabtu lalu.

Sekitar 300 peserta menyertai kejohanan yang berlangsung di sebuah gimnasium itu, lapor AP News.

Kebanyakan peserta terdiri daripada remaja, namun terdapat juga beberapa peserta dewasa yang turut serta.

Menurut Persatuan Hobby Horsing Jerman, setiap peserta dinilai berdasarkan beberapa aspek penting seperti ketepatan, masa dan ‘keanggunan’ semasa beraksi.

Bagi kategori lompatan gaya, peserta perlu menunjukkan postur yang baik semasa melompat, melepasi halangan dengan tepat serta mengekalkan kelancaran pergerakan selepas melompat.

Manakala bagi kategori ‘dressage’, penilaian melibatkan kemahiran, postur dan kedudukan badan peserta ketika mempersembahkan gaya yang elegan.

BACA: Pertandingan “Pelik” Ini Berjaya Curi Perhatian, Buat Ramai Geli Hati

Acara ‘hobby horsing’ sebenarnya berasal dari Finland, lebih 20 tahun lalu, di mana peserta pada ketika itu menunggang kuda mainan melalui hutan-hutan Nordic.

Tahun ini, Amerika Syarikat dan Australia juga turut menganjurkan kejohanan pertama mereka sebagai usaha untuk mempopularkan sukan ini di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Perhubungan Awam Persatuan Hobby Horsing Jerman, Andreas Karasek, menjelaskan bahawa walaupun dilihat ‘lucu’ oleh sesetengah pihak, sukan ini sebenarnya mencabar.

“Ia adalah gabungan antara olahraga dan gimnastik, dan peserta perlu berada dalam keadaan fizikal yang baik untuk melakukannya,” katanya.

Menurut AP News, Persatuan Hobby Horsing di Jerman baru sahaja ditubuhkan setahun yang lalu dengan hanya 13 ahli.

Namun, dalam masa yang singkat, bilangan ahli meningkat dengan mendadak, dan kini terdapat lebih 5,000 atlet aktif dengan lebih 200 kelab di seluruh negara.

Presiden persatuan, Kay Schumann, menyatakan bahawa matlamat mereka adalah untuk mempopularkan sukan ini di kalangan rakyat Jerman.

“Dengan kejohanan ini, yang akan diadakan setiap tahun, kami berharap dapat memberikan motivasi kepada peserta untuk meningkatkan prestasi mereka dan bersaing secara sihat,” kata Schumann.

Walaupun begitu, sukan ini sebenarnya tidak terlepas daripada kritikan, dengan rata-rata mempersoalkan sama ada ‘hobby horsing’ layak dianggap sebagai sukan yang sebenar.

BACA: “Keluarga Dari Malaysia” Ini Rupanya Pemilik Tanah Persendirian Ke-2 Terbesar Di New Zealand

BACA: ‘Tanah Mini’ Di Kuala Lumpur Ini Dijual Dengan Harga Mengejutkan

Sumber: AP News, Sky News