Jangan Buang, Ini Tip Paling Mudah Cuci Bekas Plastik Berminyak
Bekas yang berminyak memang renyah untuk dibersihkan. Apatah lagi jika bekas itu diperbuat daripada plastik.
Tidak kiralah bekas plastik jenis pakai buang atau yang selamat diguna pakai berkali-kali. Sudahlah minyak itu sendiri sukar untuk dicuci, malah rekaan bekas yang bersegi turut menyukarkan proses mencuci.
Jika bekas plastik tersebut jenis pakai buang, tentu ada dalam kalangan pembaca yang berpendapat boleh terus dibuang dan tidak perlu bersusah-payah untuk mencucinya.
Tahukah anda, dengan mencuci bekas plastik terlebih dahulu sebelum dibuang dapat menjimatkan kos proses kitar semula. Jika anda peminat rancangan Korea, pasti anda perasan mereka mencuci terlebih dahulu bekas plastik sebelum dikitar semula.
Malah, menerusi perkongsian Go! Go! Hanguk, terdapat panduan untuk mengitar semula di sana iaitu pengguna perlu membersihkan bekas plastik daripada sisa makanan dan label bekas sebelum buang ke dalam tong sampah kitar semula.
Jadi, sebaiknya anda cuci bekas plastik yang berminyak terlebih dahulu sebelum dibuang atau disimpan untuk kegunaan lain.
Sebelum ini, SK pernah kongsikan petua hilangkan minyak pada bekas menggunakan kertas tisu.
BACA: Bekas Berminyak? Ini Cara Hilangkan Kesan Minyak
Kali ini, SK ingin kongsikan kepada anda satu lagi petua yang boleh anda cuba. Petua ini diamalkan oleh ibu salah seorang pengguna Instagram, Shane Chin dan sesuai buat anda yang tidak mahu menghabiskan banyak tenaga di dapur.

Menerusi video yang dikongsikannya, ibu pemuda ini yang dipanggil Ahma, menaburkan tepung pada semua bekas plastik yang ingin dibasuh. Setelah tepung ditaburkan, gunakan sabun pencuci pinggan untuk proses seterusnya. Kaedah yang sama boleh digunakan untuk mencuci pinggan dan mangkuk.
BACA: Warisan Sepanjang Zaman, Ini Sejarah Batik Di Malaysia

Bagi memudahkan kerja, Ahma menyimpan satu bekas tepung di bawah sinki dapur untuk kegunaan mencuci bekas plastik. Ahma menggunakan tepung gandum memandangkan tepung itu yang paling mudah ditemui di kedai-kedai.
Petua yang mudah, jimat air, dan jimat tenaga. Selamat mencuba.
Sumber: Shane Chin, Zero Waste Malaysia, Go! Go! Hanguk
BACA: Lampu Amaran Masih Menyala Walau Dah Turunkan “Hand Brake”? Ini Puncanya